Ramai yang ingin memulakan perniagaan dari rumah. Dengan kemudahan Internet dan teknologi kini, berniaga dari rumah sering kita dengari. Saya juga mula berniaga dari rumah sejak 2000.
Berniaga dari rumah ada baik dan buruknya. Antara sebab utama ramai yang ingin berniaga dari rumah kerana ia fleksibel dan boleh dilakukan mengikut masa sendiri. Modal juga rendah kerana berniaga dari rumah zaman ini hanya menggunakan Internet sebagai platform perniagaan dan promosi. Tidak perlu membelanjakan modal besar untuk mendirikan kedai dan juga pengiklanan besar-besaran yang mungkin menelan beribu atau berpuluh ribu ringgit. Begitu juga dengan kos operasi kerana berniaga dari rumah tidak memerlukan pekerja dan kos overhead yang tinggi.
Namun begitu, terdapat juga keburukan dan kesilapan yang sering dilakukan oleh usahawan yang merancang dan juga yang menjalankan perniagaan dari rumah. Berikut antara lima kesilapan berniaga dari rumah yang perlu dihindari.
1.Terlalu menyendiri
Berniaga dari rumah sering kali bererti bekerja seorang diri di rumah. Hanya anda dan komputer di hadapan mata. Sememangnya media sosial membolehkan kita berkomunikasi dengan orang lain, namun perjumpaan bersemuka masih diperlukan dalam mengembangkan jaringan perniagaan. Terlalu selesa dengan bekerja seorang diri akan membuatkan seseorang itu kurang bergaul dengan orang ramai.
Nasihat saya, fikirkan aspek ini walaupun anda menjalankan perniagaan secara dalam talian dari rumah, anda perlu juga keluar dan berjumpa pelanggan, rakan niaga, prospek dan sesiapa saja untuk mengembangkan jaringan dalam perniagaan.
Hadiri pertemuan perniagaan atau babitkan diri dengan ekspo perniagaan di mana usahawan lain turut berkumpul dan berjumpa. Kembangkan jaringan perniagaan di luar sana dan jangan terlalu menyendiri.
2. Membahagikan masa
Segala-galanya ada di rumah. Ada televisyen, majalah, katil, sofa dan sebagainya. Bukan itu saja, malah Internet ada di depan mata yang boleh membuatkan usahawan dari rumah tersasar haluan. Merancang untuk melakukan kerja berkaitan perniagaan, tetapi ada pula program televisyen yang menarik dan sofa selesa pula membuatkan lebih tertarik untuk menonton televisyen.
Mungkin juga hendak fokus pada perniagaan di Internet, tetapi hanya dengan satu klik pautan berita terkini dan sensasi, membuatkan kita terus melayari Internet ke beberapa halaman web yang lain melalui pautan yang lain pula. Ini pasti pernah terjadi pada kita, termasuk saya sendiri!
Bekerja dari rumah memerlukan disiplin yang tinggi. Tiada rakan sekerja yang akan melihat aktiviti kita, begitu juga bos yang akan memantau gerak geri kita. Apabila tiada mata yang memerhati, maka perlu kuatkan disiplin diri untuk tidak tersasar matlamat harian dalam menjalankan perniagaan dari rumah.
3. Isi rumah yang lain
Pastinya antara tarikan berniaga dari rumah adalah keselesaan di rumah. Adakalanya, keputusan untuk berniaga dari rumah kerana ingin bersama anak-anak atau ahli keluarga yang lain tidak kira untuk golongan lelaki atau wanita.
Namun kita juga mungkin mengalami kesukaran kerana kurang dapat fokus pada perniagaan apabila perlu mengendalikan kerja harian yang lain. Baru duduk di depan komputer, anak pula meminta susu. Selepas buat susu, anak seorang lagi ingin ke tandas. Sedar-sedar, tiba masa untuk mengambil anak sulung dari sekolah. Itu belum tanggungjawab rumah yang lain.
Apa yang diperlukan adalah perancangan dan jadual yang tetap untuk melakukan kerja rumah dan perniagaan. Rancang dengan terperinci dan lakukan jadual waktu untuk kerja rumah dan perniagaan serta ikut jadual setepat mungkin. Sememangnya ada waktu yang tidak dijangka terutama apabila anak dan ahli keluarga meminta susu atau mahu ke tandas, namun dengan adanya jadual khas, masa tumpuan anda pada kerja rumah dan berniaga akan lebih terkawal.
4. Tiada nasihat niaga
Dalam perniagaan, amat biasa ada turun naiknya. Apabila naik, sememangnya berita baik. Adakalanya perniagaan merudum dan mungkin juga bermasalah, sebagai usahawan perlu juga bertanya pendapat dan berkongsi idea.
Di rumah, mungkin boleh berkongsi dengan suami, isteri atau ahli keluarga yang lain. Namun, selalunya ahli keluarga yang tiada latar belakang perniagaan bukanlah tempat mendapat nasihat niaga yang terbaik. Mendapatkan pandangan memang mudah, tetapi adakah pendapat itu bersandarkan pengalaman, teknik dan strategi perniagaan yang efektif?
Di sini juga perlunya usahawan dari rumah bergaul dengan usahawan dari rumah yang lain sama ada melalui media sosial atau perjumpaan perniagaan di luar. Adakalanya, dengan mengelilingi diri bersama usahawan, ia seumpama memberi semangat untuk terus berusaha, bertukar fikiran dan menyelesaikan masalah bersama untuk kebaikan perniagaan.
Tambahkan ilmu perniagaan dengan memperbanyakkan membaca serta menghadiri kursus yang dapat membantu diri memperkayakan lagi ilmu niaga.
5. Ruang khas di rumah untuk berniaga
Kita sedia tahu berniaga dari rumah memerlukan dedikasi diri sendiri. Selain itu, satu ruang di rumah juga perlu dikhaskan untuk berniaga. Kesilapan usahawan juga sekiranya mencampuradukkan ruang niaga dengan barangan dan peralatan lain yang boleh melarikan fokus sendiri.
Mempunyai ruang khas berniaga dapat memberi perasaan dan pemikiran untuk berniaga. Sama seperti di pejabat, apabila kita melangkahkan kaki ke pejabat, suasana pejabat memberi mood untuk bekerja.
Yang terbaik apabila mempunyai bilik kecil khas untuk menjalankan aktiviti perniagaan dengan segala buku, bahan atau peralatan yang diperlukan untuk berniaga. Apabila masuk ke bilik terbabit, pastinya semangat untuk berniaga akan turut meningkat. Bak kata orang, untuk menjadikan diri in-the-zone!
Sekiranya tiada bilik khas untuk dijadikan ruang niaga, tidak mengapa. Mulakan dengan satu sudut khas di rumah anda dan apabila perniagaan berkembang, mungkin rezeki anda untuk mendapatkan bilik khas pula.
Sememangnya idea untuk memulakan perniagaan dari rumah adalah idea yang ramai ingin lakukan. Namun pastikan di sebalik kebaikan berniaga dari rumah, terdapat juga keburukan dan kesilapan yang boleh dilakukan. Secara umumnya, disipiln diri, perancangan dan jaringan kenalan perniagaan amat penting untuk diri sendiri yang bergelar usahawan dari rumah.
Baru-baru ini saya juga melancarkan sebuah blog mengumpulkan kisah dan pengalaman usahawan dari rumah. Sekiranya anda berminat untuk menyertai serta mempelajari tip dan teknik keusahawan, layari blog www.inspirasibiz.com, mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada anda yang ingin melangkah ke alam berniaga dari rumah! hmetro
0 comments:
Post a Comment