Filled Under:
,

Biar Semua Rakyat M’sia Tonton Final Piala Thomas – KJ



Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) membuat rayuan secara terbuka kepada pihak Astro agar membuka ruang supaya semua rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan pasukan badminton negara beraksi di final Piala Thomas yang bakal berlangsung di New Delhi, India, esok.

Beliau menyeru kepada Astro agar mengurangkan harga pembelian hak penyiaran atau hak tersebut dihadiahkan terus kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Bukan selalu kita masuk final Piala Thomas. Kali terakhir 12 tahun lepas. Dan kali terakhir kita menang 22 tahun yang lepas. Siaran perlawanan akhir esok harus dibawa kepada seluruh rakyat menerusi rancangan percuma.

“Mungkin pelik saya buat rayuan terbuka. Mungkin akan ada yang komen, Menteri cakap lah sahaja senyap-senyap dekat ASTRO tak yah fofular (popular). Tetapi pendirian mereka sejak semalam tegas, bayar RM4 juta untuk hak siaran.

“Jadi saya terpaksa buat rayuan ini. Saya mohon rakan-rakan bersama merayu ASTRO untuk hadiahkan hak siaran kepada rakyat jelata,” katanya hari ini.

Permohonan terbuka itu dibuat melalui akaun Facebook rasmi beliau.

Tinjauan Mynewshub mendapati, rayuan itu telah pun dikongsi (Share) 1,737 kali dan mendapat 7,048 Likes dalam masa hanya 54 minit selepas ia dimuat naik.

Jumlah itu secara jelas mencerminkan keinginan rakyat Malaysia yang tidak memiliki Astro untuk melihat perlawan akhir berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini telah pun memohon maaf atas kegagalan RTM menyiarkan kejayaan Malaysia menewaskan Indonesia dalam peringkat separuh akhir Piala Thomas semalam.

Ketika ini, hak penyiaran dipegang Astro dan jika RTM mahu mendapatkan hak berkenaan, ia perlu membayar RM4 juta kepada Astro.

Jumlah itu terlalu tinggi dan RTM tidak mampu memandangkan sebahagian besar peruntukan RTM telah diasingkan untuk membeli hak penyiaran Bola Sepak Piala Dunia.

Malaysia akan bertemu Jepun yang melakar sejarah pertama kali melangkah ke peringkat akhir Piala Thomas.

Di bawah ini adalah salinan kenyataan KJ seperti yang disiarkan dalam Facebook beliau;

Siaran langsung final Piala Thomas – Rayuan kepada ASTRO

Semalam menerusi akaun Twitter saya, saya telah umumkan bahawa Menteri Komunikasi & Multimedia setuju untuk siarkan final Piala Thomas melalui RTM. Sebagai bekas Menteri Sukan, Dato’ Sri Shabery amat memahami jiwa rakyat jelata pencinta sukan, ramai yang tiada akaun ASTRO.

Apabila disemak dengan pihak ASTRO, mereka memaklumkan pada DS Shabery bahawa kos yang perlu dibayar oleh RTM sekiranya mahu hak penyiaran dari ASTRO untuk final Thomas Cup adalah RM 4 juta (ada yang kata RM 2.5 juta). Saya difahamkan bajet penyiaran RTM tidak cukup untuk bayar ASTRO sebab kebanyakkan bajet penyiaran sudah dibelanjakan untuk hak siaran Piala Dunia Bola Sepak.

Jadi setelah disemak DS Shabery mengesahkan RTM sudah tiada peruntukan untuk membeli hak siaran Piala Thomas dari ASTRO.

Selaku Menteri Sukan saya ingin buat rayuan terbuka kepada ASTRO, bagi seluruh pencinta sukan tanahair, agar dikurangkan atau dihadiahkan terus hak siaran tersebut kepada rakyat Malaysia menerusi RTM.

Bukan selalu kita masuk final Piala Thomas. Kali terakhir 12 tahun lepas. Dan kali terakhir kita menang 22 tahun yang lepas. Siaran perlawanan akhir esok harus dibawa kepada seluruh rakyat menerusi rancangan percuma.

Mungkin pelik saya buat rayuan terbuka. Mungkin akan ada yang komen, Menteri cakap lah sahaja senyap2 dekat ASTRO tak yah fofular. Tetapi pendirian mereka sejak semalam tegas, bayar RM4 juta untuk hak siaran.

Jadi saya terpaksa buat rayuan ini. Saya mohon rakan2 bersama merayu ASTRO untuk hadiahkan hak siaran kepada rakyat jelata.

Mohon rakan2 dapat share post ini dan sama2 merayu dalam FB, Twitter dan lain2 saluran media sosial. 
Facebook Khairy Jamaluddin




0 comments:

Post a Comment