Filled Under:

Parkir Hospital Di Dakwa 'Cekik Darah'

LUAHAN Rusydi di laman FB Metro Parking. FOTO ihsan pembaca

'Cekik darah'. Itu gambaran diberikan apabila kadar bayaran parkir milik syarikat Metro Parking di Hospital Perubatan Universiti Malaya (PPUM) didakwa mengenakan caj mahal sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang awam.

Rata-rata pengujung turut menganggap kadar bayaran dikenakan pihak pengurusan hospital berkenaan tidak munasabah selain membebankan mereka.

Foto

Perkara itu didedahkan seorang pengunjung yang meluahkan kekesalan dan kemarahannya menerusi laman Facebook (FB) dengan menggunakan nama Rusydi Akmal.

Malah status berserta gambar tiket caj parkir yang dimuat naik di FB pada 26 September lalu kini menjadi viral apabila sehingga kini digemari lebih 22,500, mendapat komen lebih 2,200 serta dikongsi lebih 2,300 pengguna laman sosial itu.

Menerusi kenyataan Rusydi, kadar bayaran yang dikenakan tidak masuk akal apabila dia dikenakan caj sebanyak RM23 bagi tempoh 11 jam ketika melawat ayahnya yang dimasukkan ke hospital PPUM.

"Bapa aku sudah 26 hari kat wad…Kalaulah hari itu tinggal kereta 'direct' 26 hari sudah RM1,248. Korang (Hospital PPUM) dah gila ke apa buat duit mcm ni? Ni hospital tahu tak bukannya Pavilion..Sedangkan parking (parkir) kat Hospital Sime Darby, Subang pun kalau tidak silap maksimum charge daily (caj sehari) RM12 je,” katanya menerusi kenyataan itu yang turut dipaut ke laman Facebook, Metro Parking.

Seorang pengguna FB bernama Rosmalina Ramli bersetuju dengan kenyataan Rusydi turut mendakwa bahawa kadar bayaran parkir yang dikenakan sangat mahal terutama bagi golongan tidak berkemampuan yang ingin mendapatkan perkhidmatan hospital berkenaan.

Dalam pada itu, menurut sumber Metro Parking Malaysia Sdn Bhd pihaknya sudah membuat strategi baru bagi menurunkan caj parkir kenderaan di tempat awam di hospital itu.

"Parkir sedia ada kini dikenakan mengikut jam iaitu sejam anggaran kira-kira RM2.00. Pihak kami juga komited untuk memberikan yang terbaik kepada setiap pengunjung.

"Kami sudah mengemukakan cadangan itu dan masih dalam perbincangan dengan pihak PPUM. Pihak kami akan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin bagi mengurangkan beban orang awam," katanya kepada Harian Metro, di sini.

Sementara itu, Pengarah PPUM, Prof Datuk Dr Ikram Shah Ismail berkata, pihaknya bersama Metro parking Malaysia Sdn Bhd komited untuk mendapatkan penyelesaian terbaik bagi menangani isu berbangkit ini.

"Perbincangan berkaitan masih berjalan dan pertimbangan khususnya bagi menyelesaikan masalah ini akan dilakukan dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira semua faktor yang ada," katanya. hmetro.




0 comments:

Post a Comment