Filled Under:

Awie Terpaksa Mulakan Dari Bawah, Bina Hidup Baru



Penyanyi Rock Awie terpaksa membina semula hidup barunya bermula dari bawah ekoran rumah tangga yang dibina bersama Rozana Misbun berdepan krisis yang sehingga kini masih menjadi kes mahkamah.

Kata vokalis kumpulan Wings ini, dia sanggup mengharungi semua keperitan asalkan dapat memberi kebahagian kepada kelima-lima anaknya sekaligus melihat mereka membesar di depan matanya.

“Saya terpaksa bangkit dari bawah semula. Saya nak besar dan sekolahkan anak saya dengan tangan saya sendiri. Dari dulu sampai lah sekarang ni segala-galanya yang saya buat hanya untuk anak-anak saya.

“Sekarang ini saya nak pastikan sesibuk mana pun saya, saya akan tetap luangkan masa dengan anak-anak. Kalau perlu, saya akan bawa saya sekali anak-anak ke lokasi penggambaran. Setahun sekali saya akan bawa anak saya pergi bercuti. Lagipun mereka jarang dapat keluar atas faktor keselamatan. Jadi sesekali saya akan bagi ruang mereka berseronok.

“Macam sepanjang bulan Ramadan lalu, saya sibuk jalani penggambaran tapi bila dah hampir waktu berbuka saya balik masakan untuk mereka ataupun saya akan belikan makanan. Lepas berbuka, saya akan ke set semula. Saya dah pandai masak asam pedas okay…”, kata Awie sambil tertawa ketika ditemui media di sesi tayangan filem terbaru lakonannya, ‘Dollah Superstar’ die@Curve, semalam.

Selain Awie, filem komedi itu turut dibintangi oleh Fizz Fairuz, Sharnaaz Ahmad, Neelofa, Aziz M. Osman dan Lan Pet Pet. Filem arahan Khabir Bhatia itu bakal ditayangkan di pawagam pada 2 Oktober depan.

Namun dalam pada dia berkerja keras menyara anak-anaknya, Awie akui terpaksa menolak beberapa tawaran disebabkan tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.

“Dalam saya mahu memulakan hidup baru, saya terpaksa tolak banyak tawaran. Teater Supermokh (Re-staging) sepatutnya saya tolak. Tapi Hans (Hans Isaac) bagi semangat pada saya. Lagipun ia atas permintaan Sultan Selangor.

“Saya juga tolak tawaran dari sertai keluarga Akademi Fantasia 2014 kerana saya tak mahu menganggu reputasi program tersebut. Saya tak mahu nanti kes saya dikaitkan sama. Sebab itu saya undur diri”, dedah duta jenama minuman Long Jack ini.

Awie juga tidak menafikan timbul sesalan dalam dirinya dengan apa yang terjadi tetapi dia menganggap semua itu adalah fitrah kehidupan.

“Saya anggap ini semua fitrah hidup dan pengajaran besar buat diri saya. Sesal tu ada tapi hidup mesti diteruskan. InsyaAllah saya ada perancangan-perancangan saya untuk masa depan anak-anak. Saya berdoa pada Tuhan agar jangan pisahkan saya dengan anak-anak”, ujarnya.

Begitupun Awie berkata dia tetap memerlukan seorang wanita di sisinya. Tetapi buat masa ini dia belum terfikir mahu mencari pengganti kerana sejujurnya kata Awie, apa yang dilaluinya sekarang membuatkan dia takut untuk mendirikan rumah tangga pada masa depan.

“Saya tak boleh tipu diri saya. Saya memang perlukan wanita (seorang isteri) di sisi saya. Kadang-kadang kita tertekan dengan masalah kerja dan pada siapa lagi kita nak mengadu kalau bukan pada isteri kita.

“Tapi, perempuan giler mana yang mahukan saya? Mungkin ada tapi boleh ker dia sayang saya dan sayang 5 anak. Mampu ker dia tahan dengan kerenah-kerenah anak-anak saya yang sedang membesar tu?

“Tapi saya belum terfikir ke arah itu (kahwin lain) lagi. Bercerai pun belum”, katanya.

Hasil perkahwinan bersama Rozana, Awie dikurniakan 3 cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah (7 tahun), Putra Ahmad Rezzki (6 tahun), Puteri Qasseh Antasha (4 tahun).

Pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anaknya daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

Awie turut mempunyai dua lagi anak hadil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.

Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu. Awie bertindak sedemikian selepas mendapati wang simpanannya yang berjumlah ratusan ribu ringgit yang di simpan atas nama akaun Rozana lesap sekaligus isterinya itu didakwa ‘mencuri’ duitnya.

Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut. suara.tv




0 comments:

Post a Comment