Filled Under:

Lisa Akui Tertekan Menjadi...



Aktres Lisa Surihani akui tertekan menjadi wanita psiko ketika menjayakan watak Lena dalam filem terbaru terbitan KRU Studios, ‘Dendam Orang Mati’. Pertama kali melakonkan watak sedemikian, kongsi Lisa, pada awalnya dia enggan terlibat dengan filem arahan Jason Chong itu kerana tidak gemarkan jiwa yang diketengahkan dalam filem tersebut.

“Filem ini sangat gelap jalan ceritanya dan berbeza dari karakter saya yang sebenar. Pada awalnya saya menolak tawaran ini tapi setelah dipujuk Yusry, akhirnya saya setuju,” kata Lisa.

Menurut isteri kepada Yusry ini lagi, suaminya percaya bahawa dia boleh membawakan watak Lena dengan baik selain mahu Lisa keluar daripada zon selesanya.

“Yusry mahu saya buat sesuatu yang belum pernah saya lakukan. Kerana itu, saya meminta Yusry menyediakan bengkel untuk saya mendalami watak Lena terlebih dahulu sebelum menjalankan penggambaran,” katanya.

Walaupun memegang watak wanita psiko bukan kegemarannya, namun Lisa akui dia gembira terlibat dengan ‘Dendam Orang Mati’.

“Saya merupakan seorang yang sentiasa berfikiran positif. Jadi apabila saya perlu membawa watak sebegini, ia agak sukar. Tapi jujur saya gembira terlibat dengan produksi ini. Filem ini sangat berbeza dengan apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Saya harap penonton dapat menerima saya membawa watak yang lebih berat,” katanya akui kadangkala terbawa-bawa karakter Lena diluar penggambaran.

“Apa yang sukar ketika memegang watak Lena apabila kita terlalu ingin menjayakan sesuatu watak, kadang-kadang saya merasakan diri saya sebahagian dari Lena. Namun menerusi bengkel yang saya jalani bersama Ibu Fauziah Nawi, beliau mengingatkan saya untuk sentiasa jadi professional dan meninggalkan watak Lena di set penggambaran setelah pulang kerumah,” kongsi Lisa.

‘Dendam Orang Mati’ berkisar tentang seorang wanita bernama Lena, tersedar di hospital setelah dua tahun koma dan hilang ingatan akibat kemalangan. Keadaan bertambah mengelirukan apabila dia diperkenalkan kepada isteri baru suaminya, Shahrul, di flat lamanya di tingkat 4. Keadaan di tingkat itu yang suram dan sunyi dirasai walaupun telah mengalami pengubahsuaian dan dinamakan Tingkat 3A.

‘Dendam Orang Mati’ bakal berada di pawagam bermula 23 Oktober depan. 
GUA




0 comments:

Post a Comment