Filled Under:

Malaysia Jangan Bagi Muka Kepada Kenderaan Asing!

Singapura bertindak akan menaikkan caj VEP pada Ogos ini. (Gambar hiasan)

SHAH ALAM - Cadangan Kerajaan Negeri Johor supaya Malaysia mengenakan caj permit kemasukan kenderaan (VEP) asing kepada kereta berdaftar di Singapura disambut baik rakyat Malaysia, seperti yang dapat dilihat melalui perbincangan di media sosial.

Kebanyakan pengguna menganggap ia langkah tepat selepas kerajaan sekian lama membenarkan kenderaan asing memasuki negara ini secara percuma dan ramai juga yang mencadangkan supaya jumlah caj dinaikkan lebih tinggi daripada RM100 yang dicadangkan Pemuda Umno Johor, kelmarin.

Malah, ramai juga meluahkan rasa tidak puas hati mereka kerana menganggap kerajaan menganaktirikan rakyat sendiri dengan mengenakan pelbagai bayaran dan menarik semula pelbagai subsidi, namun tidak mengenakan bayaran setimpal kepada orang luar.

Seorang perunding komunikasi Faisal Nazrin Zainuddin, 30, berkata, kebanyakan kereta dari Singapura diketahui memasuki negara ini untuk mengisi petrol dan membeli barangan yang kebanyakannya menerima subsidi kerajaan.

"Memang ada had (pembelian petrol) tetapi dari segi penguatkuasaan, saya rasa tidak menyeluruh. Ini (caj VEP) satu lagi sumber pendapatan (negara)," katanya.
Beliau turut mempersoalkan kelonggaran ketara kepada pesalah trafik Singapura.

"Saya banyak kali terserempak dengan kenderaan Singapura memandu sangat laju di lebuh raya. Polis kita mencari pesalah trafik Malaysia sehingga ke rumah, pejabat tetapi kenapa undang-undang itu seolah-olah tidak dikenakan kepada orang luar?," soalnya.

Sementara itu, peguam Siti Nurzafirah Padzil, 27, berkata, cadangan mengenakan VEP kepada kenderaan Singapura amat disetujui. "Singapura penyebab kesesakan lalu lintas di Johor Bahru dan mereka memenuhi ruang letak kereta pasar raya besar untuk beli barangan runcit di Malaysia," katanya.

Pandangan mereka dikongsi sebahagian besar pengguna media sosial yang memberi komen berhubung cadangan caj VEP itu. "Singapura bijak dapatkan duit daripada orang luar tetapi Malaysia tidak tahu (melakukan perkara sama), hanya tahu dapatkan duit daripada orang sendiri dengan menaikkan harga," menurut seorang pengguna media sosial.

Ada pula yang berpendapat kereta Singapura patut dikenakan caj tinggi kerana kebanyakan penduduk negara jiran itu membeli petrol RON95 yang bersubsidi di Malaysia. "Apabila ditegur, ajak pula kita bertumbuk. Apa dah jadi dengan penguatkuasaan," komen pengguna Facebook.

Singapura berusaha mengurangkan kesesakan pintu sempadan negaranya mengumumkan caj VEP dinaikkan dari S$20 (RM51) kepada S$35 (RM90) bermula 1 Ogos ini. Sinar Online




0 comments:

Post a Comment