Filled Under:

Harapan Tidak Kesampaian


Kuala Lumpur: Warga Universiti Sains Malaysia (USM) turut bersedih dengan kejadian pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine malam tadi kerana seorang daripada 283 penumpang pesawat berkenaan adalah calon pensyarah universiti itu.

Mohd Ali Md Salim yang sedang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang "Development Neuropsychopathology" di Erasmus University Rotterdam, Belanda, dilaporkan dalam perjalanan pulang bercuti ke kampung halamannya di Kampung Jayor, Pagoh Muar, Johor.

Ali yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-30 pada 10 September ini adalah anak keempat daripada lapan beradik sedang mengikuti pengajian di bawah Skim Latihan Kakitangan Akademik (RLKA) Kementerian Pendidikan di bawah USM.

Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr Omar Osman berkata, beliau sedih di atas tragedi ini dan meminta seluruh warga USM turut mendoakan untuk kesejahteraan semua pihak terbabit.

"Kita amat bersedih dengan tragedi pesawat MH17 ini dan marilah sama-sama kita berdoa agar semua pihak diberikan kekuatan menghadapi dugaan Allah SWT apatah lagi dalam kalangan keluarga yang terbabit," katanya.

Beliau juga menyampaikan ucapan takziah dan dukacita kepada keluarga Ali serta semua yang terbabit.

"Kepada keluarga Ali, saya ingin merakamkan takziah dan kesedihan dari seluruh warga USM dan saya secara peribadi turut merasai kehilangan yang amat sangat apatah lagi allahyarham adalah pelajar yang cemerlang dan calon pensyarah USM nanti," katanya.

Katanya, USM sedia membantu untuk meringankan tanggungan keluarga dan akan menghubungi keluarga Ali dari semasa ke semasa.

"Kita semua berhadapan dengan dugaan besar dari Allah SWT pada Ramadan kali ini dan marilah sama-sama terus berdoa dan tabah menghadapi dugaan ini serta pada masa yang sama terus juga berdoa untuk saudara kita iaitu rakyat Palestin yang sedang berhadapan dengan serangan Israel," katanya.

Menurut kakak Ali, Nurzazila Md Salim, adiknya ada berhubung sehari sebelum berlepas pulang dan bertanyakan jika mempunyai sebarang barang untuk dipesan.

"Selalunya ada sahaja pesanan saya, tetapi kali ini saya tidak meminta apa-apa sebaliknya mengharapkan dia balik dengan selamat," kata Nurzazila yang sudah berada di hotel di Putrajaya bersama ibu bapa dan keluarganya.

Nurzazila berkata, Ali yang dijangka tamat pengajian pada tahun 2015 sangat rapat dengan dia dan ibunya malah sering berkongsi sebarang masalah. "Dia sangat meminati penyanyi Datuk Siti Nurhaliza yang katanya walau pun Siti sudah berkahwin, dia tetap meminatinya," kata Nurzazila. HMetro






0 comments:

Post a Comment