Kotak hitam biasanya berupaya menjawab segala persoalan serta spekulasi kejadian menimpa sebarang pesawat, terutama membabitkan kehilangan pesawat MH370 yang ketika itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Semua pesawat wajib dilengkapi kotak hitam yang terdiri daripada perakam data penerbangan (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR).
HAYAT bateri kotak hitam dijangka berbaki 18 hari.
Setiap FDR dan CVR pula dipasang peranti dikenali sebagai Underwater Locator Beacon (ULB) yang akan diaktifkan jika pesawat terhempas dalam air. Sekiranya kotak hitam terbabit tidak dapat ditemui selepas hayat bateri tamat, operasi SAR akan menjadi agak sukar memandangkan kawasan pencarian kini seluas Australia.
Sementara itu, mengikut South China Morning Post yang memetik kapten penerbangan merangkap penyiasat nahas pesawat dari Hong Kong, David Newbery, berkata pasukan SAR menghadapi masalah sama ketika mencari pesawat Air France 447 di Lautan Atlantic, pada 2009. Menurutnya, kotak hitam pesawat Air France ituhanya ditemui dua tahun selepas nahas itu.
"Oleh itu, jika pesawat tidak ditemui sebelum isyarat itu berhenti, pencarian akan laluan yang agak rumit," kata Newbery. Professor Alan Lau Kin-tak daripada Jabatan Kejuruteraan Universiti Politeknik Hong Kong bersetuju dan berkata: "Penemuan pesawat akan menjadi lebih sukar jika tiada sebarang penemuan dalam masa 30 hari."
Pasukan SAR juga tidak dapat mengesan isyarat daripada pemancar lokasi kecemasan pesawat itu yang mempunyai jangka hayat selama 24 jam selepas berlakunya nahas. Operasi SAR kini membabitkan 26 negara yang menumpu pencarian di dua koridor iaitu Koridor Utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand manakala koridor Selatan membabitkan selatan Lautan Hindi berhampiran perairan Indonesia dan Australia.
Menerusi sidang media harian di KLIA, hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut memaklumkan bahawa pasukan penyiasat Air France turut berkongsi pengalaman mengenai kotak hitam. “Penyiasat Air France turut berkongsi maklumat mengenai alat khas bagi mengesan kotak hitam. Kami sudah mengenal pasti alat berkenaan yang mungkin dapat membantu. Kita perlu cari pesawat dulu untuk mendapatkan kotak hitam,” katanya.
0 comments:
Post a Comment