Filled Under:

Sedih, Adik Nak Makan Banyak,Lepas Nie Adik Tak Makan Dah


mangsa lemas kolam renang
Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut akibat lemas di dalam kolam renang sebuah pangsapuri di Mantin, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Nur Aina Faqihah Mohd Saiful Azha dipercayai tergelincir ketika mandi di dalam kolam berkenaan ketika mengikut ibu saudaranya menghadiri majlis anjuran sebuah agensi kerajaan di kawasan terbabit.
Ibu saudaranya yang enggan dikenali itu telah menjaga mangsa sejak kelmarin, dan mangsa yang membahasakan dirinya ‘adik’ dikatakan rapat dengan keluraga wanita berkenaan sehingga memanggilnya ‘ibu’.
Suami wanita berkenaan yang mahu dikenali Asngari berkata, sebelum kejadian berlaku, mangsa meminta kebenaran daripada isterinya untuk mandi di kolam itu bersama sepupunya.
“Ketika di kolam, dia kata nak mandi sekejap saja, nanti dia dah tak mandi dah. Namun, ketika isteri saya berpaling sebentar, dia sudahpun tergelincir dan lemas.
“Tak sangka, kata-kata itu rupa-rupanya tanda dia akan pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Ja’afar, di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum ini, mangsa pernah bercakap dengan isterinya yang dia mahu makan banyak.
“Dia kata, ibu, adik nak makan banyak,  lepas ini adik tak makan dah… Ini kali terakhir ibu jumpa adik, lepas ni dah tak jumpa,” katanya.
Sementara itu, isterinya berusia dalam lingkungan 40-an yang terlalu sedih dengan kejadian itu dilihat tidak berhenti menangis sambil memegang dan mencium berulang kali pakaian terakhir berwarna biru dipakai mangsa.
Adik wanita berkenaan, Zaidi Mohamad, 40, berkata, mangsa tinggal bersama datuk dan neneknya di Kampung Rembang Panas, Juasseh, Kuala Pilah, sejak kecil, manakala bapanya bekerja di Kedah.
“Jumaat lalu dia mahu datang ke rumah kakak saya di sini (Mantin). Menurut kakak, dia mula menunjukkan perubahan sikap malam tadi (kelmarin) apabila makan banyak sedangkan dia jenis susah untuk makan banyak.
“Ketika dalam perjalanan ke apartmen itu (tempat kejadian) pagi tadi (semalam), dia cakap itu perjumpaan terakhir mereka. Kakak saya tidak begitu memikirkannya sehinggalah kejadian itu berlaku,” katanya.
Mayat mangsa yang dibedah siasat di Hospital Tuanku Ja’afar dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Juasseh, Kuala Pilah, petang semalam.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdullah Roning mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.




0 comments:

Post a Comment