Kelompok artis tempatan turut terkejut dengan insiden ini apatah lagi mereka yang pernah bertugas sebagai anak kapal dengan MAS suatu ketika dulu. Lantaran hari ini, RAP mengumpulkan beberapa nama yang pernah menjadi pramugara dan pramugari MAS seperti Raja Azmi Raja Sulaiman, Ziana Zain, Amy Mastura, Ellie Suriaty Omar, Anuar Zain, Faezah Elai dan Nazim Othman. Antara yang lain termasuklah Datin Normala Shamsuddin, Fouziah Gous dan artis yang masih bertugas iaitu ZarulUmbrella.
Nazim Othman – Bertugas: 2000 – 2008
“Sepanjang menjadi pramugara, saya tidak pernah pula melalui peristiwa yang menakutkan. Apapun kes yang menimpa pesawat MH370 ini sangat luar biasa. Jadi, saya mengharapkan masyarakat dapat menerimanya secara positif dan tenang apa yang sudah berlaku. Janganlah membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan keadaan tegang dan menyinggung perasaan ahli keluarga mangsa.
“Saya sangat terkesan dengan apa yang berlaku. Walaupun hakikatnya sangat pahit untuk ditelan, apa boleh kita buat kerana ia takdir Tuhan. “Sebagai manusia biasa, kita hanya mampu pasrah dan berdoa. Apapun, saya tetap berbangga dengan cara pengurusan MAS dalam tragedi ini dan semua pihak SAR sedang berusaha bersungguh-sungguh mencari di mana kotak hitam.”
Amy Mastura – Bertugas: 1989 – 1994
“Saya sempat lima tahun bersama MAS namun apabila berjaya pertandingan Asia Bagus! pada 1993, saya akhirnya berhenti daripada MAS, setahun kemudian. “Syukurlah sepanjang lima tahun saya dengan MAS, tidak pernah pun saya berdepan situasi genting. Pun begitu seperti semua anak-anak kapal lain, kami dilatih untuk berdepan sebarang kemungkinan.
“Biasanya sebelum suatu penerbangan berlepas, kesemua anak-kapal terbabit lebih dulu diberi taklimat penting sebagai persiapan kerana kita mahu semuanya berjalan lancar.
“Ketika ini saya hanya mampu mendoakan yang terbaik buat penumpang MH370. Saya yakin semua anak kapal kita dalam MH370 sudah melakukan yang terbaik dalam tugasan mereka dan usahlah kita berprasangka buruk terhadap mereka dan mendengar spekulasi negatif.”
Raja Azmi – Bertugas: 1979 – 1983
“Sebelum menjadi produser filem, saya pernah bertugas dengan MAS ketika berumur 19 tahun dengan pesawat jenis Fokker F27. Ia satu pengalaman yang menyeronokkan kerana saya suka melayan penumpang dan mendapat ramai kawan. Malah setiap kali menyarung pakaian seragam MAS, saya sangat bangga apatah lagi ketika itu hanya ada satu syarikat penerbangan komersial di Malaysia.
“Daripada F27, saya beralih ke pesawat Boeing 737, DC10, Airbus A300 dan akhir sekali, Boeing 747. “Paling jauh saya ‘terbang’ ialah ke Rom, Itali pada 1983. Rombongan Sultan Pahang turut menaiki kapal terbang berkenaan. “Antara saat cemas buat saya apabila kami mengalami gangguan cuaca dalam perjalanan ke Manila pada 1982. Pesawat Boeing 737 kami tiba-tiba menempuh ‘air pocket’ dan ditarik hampir 20 kaki ke bawah!.
“Habis air kopi yang mahu saya hidangkan tercurah ke badan saya apabila kapten tidak sempat memberikan isyarat amaran. Walaupun panik seketika, semua penumpang selamat dan faham dengan situasi ‘air pocket’.”
Ellie Suriaty – Bertugas: 1991 – 1998
“Terus terang niat asal saya menjadi pramugari adalah untuk mencari seorang kawan baik ketika kami bersekolah dulu. Saya akhirnya bertemu juga dengan rakan saya itu. “Saya puas kerana berpeluang menjelajah banyak negara seperti England, Kanada, Belanda, Australia, China dan Jepun.
“Biasanya apabila berjauhan dengan keluarga, kawan-kawan menjadi penghibur dan mereka seperti ahli keluarga kita. Kami anak-anak kapal memang akrab. “Melalui gangguan cuaca adalah perkara biasa. Namun kami semua sudah diajar untuk tenang dan sentiasa sedia. Paling penting usah tunjukkan rasa gugup di depan penumpang dan perlu jadi kuat. Kami kerap menjalani kursus dan mendengar taklimat penerbangan.”
Ziana Zain – Bertugas: 1990 – 1992
“Saya hanya sempat terbang dengan MAS selama dua tahun tetapi saya tetap seronok dan gembira menjadi ‘cabin crew’. Paling gembira apabila kita dapat melihat negara orang dan pergi ke tempat yang mungkin sukar untuk saya lawati ketika itu kerana keluarga saya bukannya orang yang senang.
“Penerbangan terakhir saya adalah ke Dubai sekitar Julai 1992. Selepas itu saya terpaksa berhenti demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya nyanyian. “Saya bangga kerana dalam keluarga, adik saya, Anuar juga bekas pramugara dan suami saya (Armin Zaharin) masih lagi berkhidmat sebagai ketua pramugara MAS. Aura MAS nampaknya masih dekat dengan saya kerana sudah 24 tahun Armin bertugas dengan MAS.”
Anuar Zain – Bertugas: 1990 – 2000
“Saya bangga dapat berkhidmat dengan MAS selama lebih 10 tahun kerana bersama mereka banyak memberikan pengalaman indah dan berharga dalam kehidupan saya. “Saya bersyukur dapat bekerjasama dengan ramai individu yang begitu komited pada kerja dan disiplin mereka sangat hebat.
“Apatah lagi, ketika berkhidmat dulu pun saya ada pengalaman pernah bekerja dengan beberapa anak kapal yang terbabit dalam tragedi pesawat MH370 seperti ketua pramugara, Andrew Nari dan penyelia, Patrick Francis Gomes. “Mereka ternyata orang-orang yang bagus dan amat baik belaka. Seperti Andrew, dia adalah orang yang bertanggungjawab membentuk saya dalam menjadi seorang pramugara yang baik ketika itu dan seorang yang cukup merendah diri dan mesra.
“Begitu juga dengan Patrick, saya paling mengingatinya sebagai seorang yang cukup berdedikasi dan amat mementingkan keselamatan penumpang ketika berada di udara.
“Hanya doa yang mampu saya berikan kepada mereka.”
Danny X-Factor – Bertugas: 2003 – 2006
“Banyak pengalaman manis dirasai sepanjang saya bertugas dengan MAS. Pendapatan saya termasuk elaun sebulan boleh mencecah sehingga RM8,000 dan saya juga sempat membuat umrah di Makkah. Antara pesawat yang pernah saya naiki ialah Boeing 737, Airbus 200, Airbus 300, Boeing 777 dan Boeing 747.
“Bercakap mengenai pengalaman getir, ia lebih kepada penerbangan dalam hujan lebat kerana kita harus bijak mengawal suasana supaya penumpang tidak gelisah. “Biasanya apabila cuaca buruk, pesawat tidak akan terus membuat pendaratan, sebaliknya akan berlegar-legar dulu buat seketika di udara.
“Ketika ini ada penumpang akan tertanya-tanya dan kami akan memberitahu dengan baik agar mereka tenang dan memakai tali pinggang keledar. “Sebagai anak kapal, kami sentiasa berusaha memberikan yang terbaik buat penumpang. Ragam penumpang itu perkara biasa buat kami.”
Faezah Elai – Bertugas: 2003 – 2005
“Saya sempat berkhidmat selama tiga tahun dengan MAS. Namun saya bertuah kerana sudah ‘terbang’ jauh hingga ke New York. Antara pesawat yang saya naiki adalah Boeing 737, 777 dan 747. “Banyak cabaran harus dilalui sebagai pramugari dan kita perlu melayan semua penumpang dengan sebaik mungkin. “Tiada istilah yang buruk atau teruk kerana bagi saya semua cabaran itu harus digalas dengan penuh rasa tanggungjawab.
Malah saya seronok bermesra dengan penumpang yang ramah dan mendapat kawan baru. Lebih teruja kalau saya dapat bertugas bersama anak-anak kapal yang rapat andai kami ‘terbang’ ke satu-satu destinasi yang jauh. “Kalau ada ‘night stop’, kami boleh berjalan-jalan dan membeli-belah bersama.” – Harian Metro
0 comments:
Post a Comment