MAS dalam satu kenyataan hari ini berkata sebaik sahaja mendarat, pesawat itu telah diperiksa oleh jurutera bertugas. Akibat kejadian itu, penutup lensa lampu mendarat pesawat itu telah pecah dan menafikan laporan yang mengatakan bahawa cermin hadapan pecah dalam insiden itu.
"Pesawat itu tidak dibenarkan terbang pada malam itu juga dan penutup lensa yang pecah itu telah diganti," kata kenyataan itu. "Kejadian itu terdedah selepas seorang juruterbang Jet Airways, yang mendaratkan pesawatnya beberapa minit selepas pesawat MAS, memaklumkan kepada kami beliau ternampak serpihan kaca berselerak di landasan," kata seorang pegawai ATC yang enggan dikenali.
Para pegawai TIA yang membuat pemeriksaan menjumpai sekurang-kurangnya 10 bangkai itik serta kepingan kaca di landasan. Serpihan kaca itu kemudian dibuang dan lapangan terbang tersebut kembali beroperasi 30 minit kemudian. Para pegawai menjumpai dua lagi bangkai itik ketika melakukan pemeriksaan rutin pada pagi Sabtu.
Ini kali pertama kami melihat begitu banyak itik di kawasan lapangan terbang ini," kata seorang pegawai yang mengesyaki unggas itu mungkin itik penghijrah. MAS membatalkan penerbangannya ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada pukul 11 malam Jumaat.
Semua penumpang yang menempah penerbangan itu ditempatkan di hotel Soaltee, Annapurna dan Hyatt Regency. Pesawat berkenaan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 3:30 petang Sabtu setelah dibaiki. Sementara itu, pegawai ATC berkata pengurus besar TIA telah dimaklumkan tentang kejadian tersebut dan beliau mengesyorkan tindakan dikenakan terhadap juruterbang MAS terbabit kerana tidak membuat laporan segera tentang kejadian itu.
Juruterbang berkenaan sepatutnya memaklumkan kejadian itu dengan segera kepada pihak berkuasa lapangan terbang bagi mengelak kejadian tidak diingini," kata pegawai itu. Lebih 75 kejadian pesawat berlanggar dengan unggas ketika berlepas atau mendarat berlaku di TIA sejak 1990.
Tiga daripadanya mengakibatkan kerosakan besar terhadap pesawat. Walaupun sebuah pesawat Airbus A300 Thai Airways dan sebuah pesawat Dc-10 Biman Bangladesh terselamat daripada nahas pada 1996 dan 2010, 19 orang maut apabila pesawat Dornier Sita Air terhempas pada September 2012.
Insiden unggas merempuh pesawat sememangnya satu perkara yang sering berlaku di lapangan terbang negara yang bergunung-ganang dan dilitupi hutan tebal itu. Astro Awani
0 comments:
Post a Comment