Filled Under:

#MH370: AYUH, BANGUNLAH RAKYAT MALAYSIA!!


MEDIA antarabangsa sudah mula menyerang kita, menuduh kita ‘cover up’ insiden MH370. Masalahnya cover up untuk apa? Adakah radar kita terlalu hebat hingga boleh ‘menipu’ radar tentera Amerika Syarikat? 

Adakah badan perisikan kita terlalu licik hingga mampu mengelirukan CIA, Scotland Yard mahupun Mossad? Betul, ada percanggahan sedikit di sini sana namun itu kita tak boleh lari, sejarah pesawat Boeing 777 ‘lenyap’ begitu saja bukan saja pertama kali berlaku di Malaysia, malah tidak pernah berlaku di Amerika, China, Australia mahupun di mana-mana (kecuali Air France 447 di Lautan Atlantik).

Analoginya, mana mungkin seorang bayi boleh terus berlari tanpa bermula dengan merangkak atau tersandung sana sini? Lihatlah muka Hishammuddin, Pengarah DCA dan panglima kita yang diasak bertubi-tubi dengan pelbagai soalan, namun mereka tenang menjawab dan penuh hati-hati kerana setiap kata yang terbit dari mulut mereka adalah maruah negara, maruah kita.

Tetapi mereka bukan Superman yang mampu menjelaskan segalanya dalam sekelip mata, atau merumuskan segala kekeliruan dan misteri hanya dengan satu sidang akhbar! Kita boleh setuju dan boleh memilih untuk tidak bersetuju, tetapi kita tiada pilihan. Kalau kita tidak percayakan pasukan mencari dan menyelamat kita- siapa lagi? kalau kita tidak percaya pada pasukan keselamatan kita sendiri- siapa lagi?

Musuh kita akan sentiasa mencari dan memanipulasi, baik kebaikan mahupun kelemahan kita. Kalau kita terus dibuai dendangan CNN, BBC,ABC atau Xinhua, maka ‘daulat’ mereka jugalah yang perlu terus kita junjung. Inilah masanya kita bersatu menghadapi kesukaran dan kepayahan ini.

MH376 bukan cerita UMNO atau Pakatan Rakyat. Ini cerita 29 juta rakyat yang mengaku hidup dan matinya demi agama dan negara tercinta. Kita ibarat durian dan mentimun, digolek ke kanan kita cedera, digolek ke kiri kita luka. Namun kalau kita tidak bersatu – bukan saja luka – kita akan mati sebelum ajalnya!-




0 comments:

Post a Comment