Filled Under:

Ais kepal RM80,000


Alor Setar: Seorang pemaju perumahan sanggup membeli semangkuk ais kepal pada harga RM80,000 untuk disumbangkan kepada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) sempena Karnival Amal Hari Penyayang 2014 di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini, semalam.

Ahli perniagaan terbabit yang juga Pengerusi Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng menyifatkan pembelian dilakukan itu sebagai tanda sokongan terhadap penubuhan YSB khusus untuk membantu golongan kurang upaya di negeri ini.


Dia yang ditemui berkata, ais kepal dibelinya itu dari gerai jualan amal di karnival berkenaan dianggap paling mahal pernah dibeli sejak lima tahun lalu.

“Saya pernah membeli ais kepal dengan harga RM10,000 pada tahun 2010. Saya kemudian membeli ais kepal pada harga RM50,000 selama tiga tahun berturut-turut antara tahun 2011 hingga 2013.

FNG Ah Seng menunjukkan ais kepal yang dibeli dengan harga RM80,000 untuk tujuan amal.


“Namun saya mengambil keputusan untuk membeli ais kepal itu pada harga RM80,000 tahun ini. Bagi saya nilai semangkuk ais kepal ini bukan ukuran kerana wang ini akan disalurkan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Menurutnya, sumbangan itu dianggap bermakna buat Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah selaku penaung YSB yang banyak membantu golongan kurang upaya di Kedah,

Terdahulu Tuanku Abdul Halim mencemar duli merasmikan larian bendang disertai kira-kira 1,000 peserta.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah; Pengerusi YSB Tunku Panglima Besar Kedah yang juga Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim dan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Fng berkata, beliau turut membeli dua daripada 20 barangan dilelong ketika majlis lelongan amal bermula jam 11 pagi semalam.

“Saya berminat membeli sepasang potret milik Tuanku Abdul Halim bersama Tuanku Hajah Haminah selain lukisan minyak tertera 12 ekor kuda bernilai keseluruhan RM120,000. Bagaimanapun lukisan itu diserahkan kembali kepada yayasan untuk tujuan lelongan amal pada tahun depan.

“Saya tidak kisah apa orang mahu fikir, tetapi niat saya ikhlas hanya untuk membantu YSB, sekali gus golongan memerlukan di negeri ini,” katanya.

Dalam majlis lelongan amal itu, sebanyak RM755,000 berjaya dikumpulkan hasil daripada penjualan 20 barangan membabitkan enam potret milik Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah, lukisan minyak, keris dan barangan perhiasan termasuk sebuah meriam tembaga berusia 200 tahun.

Turut dilelong ialah sebentuk cincin batu permata nilam koleksi peribadi milik Tunku Puteri Intan Safinaz berharga RM20,000 dan suara meniru bunyi enjin kereta lumba F1 yang dilakukan pelawak terkenal tanah air Lan Pet Pet bernilai RM5,000. hmetro




0 comments:

Post a Comment