Filled Under:

RAKYAT MALAYSIA DIKECUALIKAN VISA UNTUK KE AS TAHUN DEPAN?


Malaysia mungkin dapat melaksanakan program pengecualian visa Amerika Syarikat (VWP) seawal tahun depan.

"Saya tidak mahu memberikan tempoh masa khusus tetapi mungkin pada tahun depan," kata Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Y. Yun, kepada Bernama selepas mesyuarat Meja Bulat Koporat Malaysia yang dianjurkan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia, di sini hari ini.

Sebelum itu, Yun berkata, tidak banyak negara di seluruh dunia yang mempunyai VWP dan ada beberapa kriteria yang Malaysia perlu penuhi untuk layak bagi pengecualian tersebut.

"Sesetengah daripadanya sudah ada, sebagai contoh, timbal balik Malaysia perlu membenarkan warga Amerika masuk tanpa visa, dan pasport elektronik," kata Yun.

Bagaimanapun, terdapat beberapa keperluan lain yang belum dipenuhi seperti pelaporan pasport yang hilang dan dicuri kepada Interpol dan pertukaran data untuk penjenayah.

"Ini adalah antara beberapa perkara yang saya akan bantu kerajaan anda untuk membolehkan kelayakan ini. Terdapat kemajuan mengenainya," katanya.

Yun berkata beliau sudah menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Malaysia telah bersetuju untuk melantik seorang penyelaras bagi memastikan proses itu berjalan lancar. 
BERNAMA




0 comments:

Post a Comment