Filled Under:

‘Demi mak saya berkorban’

HAFIZUL dan Nurul Syazwani menjaga Basahriah yang koma sejak enam bulan lalu.

Baling: “Demi mak, saya sanggup lakukan apa saja meskipun terpaksa bekerja siang dan malam untuk mengumpul wang bagi merawat orang tersayang. “Bagi saya, ibu adalah segala-galanya dalam hidup...

selagi dia masih bernyawa, saya akan buat apa saja demi mak yang terlantar sakit dan koma sejak enam bulan lalu,” kata Hafizul Fais Ishak yang menyewa rumah di Taman Kota Jaya, Pulai, di sini.

Hafizul Fais berkata, ibunya Basahriah Hassan, 46, terlantar koma selepas menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan komplikasi buah pinggang kronik.

Katanya, dengan melakukan pelbagai kerja kampung serta membantu bapanya Ishak Awang, 51, menjual buah-buahan tempatan, rezeki itu digunakan untuk membiayai rawatan ibunya yang memerlukan rawatan rapi di Hospital Pakar Metro, Sungai Petani setiap minggu.

“Saya pasrah menerima segala ujian Allah tapi selagi ada hayat dan kemampuan, saya terus berusaha mencari wang untuk merawat mak.

“Meskipun kami bukan daripada golongan berada, kasih sayang kepada mak tidak pernah berbelah bagi dan tetap akan menjaganya sampai akhir hayat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Hafizul Fais berkata, mereka sekeluarga hanya menyewa rumah kerana tidak mampu membina rumah sendiri kerana memerlukan perbelanjaan yang banyak, termasuk untuk membayar sewa rumah, perbelanjaan dapur, ubat-ubatan emaknya dan rawatan pakar.

“Setiap kali mendapat rawatan, kami terpaksa berbelanja RM600.

Kami juga mengalami kesulitan mendapat pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kerana kerenah birokrasi.

“Pelbagai masalah yang membebankan timbul, sedangkan mak saya koma dan tentu tidak mampu ke pejabat berkenaan untuk pengesahan tandatangan.

“Saya berulang kali memaklumkan mak saya koma tapi pihak PERKESO tidak peka, seolah-olah apa dihadapi mak saya tidak mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.

Menurut Hafizul Fais, ibunya pernah berkhidmat selama tiga tahun di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebelum bertukar kerja sebagai guru Tadika Mawadah di Taman Desa Cempa, di sini, selama 10 tahun.

Katanya, ibunya dikesan menghidap penyakit buah pinggang pada Oktober tahun lalu apabila mengalami sesak nafas sehingga dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

“Buah pinggang mak rosak teruk sehingga dia koma sejak awal tahun ini hinggalah kami membawanya pulang dan menjaganya sepenuh masa.

“Saya terpaksa membeli segala kelengkapan seperti katil khas berharga RM3,000 supaya mak lebih selesa dan menjaganya dengan rapi, termasuk minum susu menggunakan tiub.

“Setiap hari isteri saya (Nurul Syazwani Ramli, 23) menjaga mak dengan penuh kasih sayang apabila saya dan ayah keluar mencari rezeki,” katanya.

Sementara itu, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Nazatul Iffah Abdullah berkata, pihaknya menerima permohonan daripada keluarga malang itu dan pemohon layak mendapat Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) sebanyak RM300 sebulan.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun Maybank Hafizul Fais Ishak nombor 152077368363 atau menghubunginya di talian 019-446 2833. 
HMetro




0 comments:

Post a Comment