Filled Under:

Wajah Hampir Seiras

Foto
LUIGI Maraldi, warga Itali (kiri), Delavar Seyed Mohammad Reza, warga Iran (kanan). FOTO Reuters dan EPA
SEPANG: Seorang daripada dua lelaki Iran yang menggunakan pasport curi untuk menaiki pesawat Malaysia Airlines #dimanaMH370 didapati memiliki wajah hampir seiras dengan pemegang pasport asal, Luigi Maraldi yang berasal dari Itali.

Ini berdasarkan gambar Delavar Seyed Mohammad Reza, 29, yang diedarkan menerusi sidang media oleh Interpol di Lyon, Perancis and Polis Diraja Malaysia, di sini, dan foto Luigi Maraldi oleh agensi berita EPA ketika sidang media warga Itali itu di Pattaya, Thailand pada 10 Mac. 
Setiausaha Agung Interpol Ronald K Noble berkata, rakaman menunjukkan Delavar Seyed Mohammad Reza, 29, dan Pouri Nur Mehdrad, 19, menaiki pesawat pada masa sama. Nobel berkata, maklumat setakat ini mendapati lelaki berkenaan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas.
“Mereka kemungkinan besar adalah mangsa perdagangan manusia. Apa yang membimbangkan adalah kemungkinan lebih satu bilion kali setiap tahun, mereka yang melewati sempadan atau menggunakan pengangkutan udara, pasport mereka tidak disemak teliti dengan pangkalan data Interpol.
Dua lelaki Iran menggunakan pasport negara asal mereka untuk masuk ke Malaysia menggunakan pasport curi dan menyamar sebagai warga Austria dan Itali ketika mendaftar masuk bagi menaiki pesawat MH370. Pouri yang menggunakan pasport curi milik warga Austria dipercayai ingin berhijrah ke negara Jerman. 

Sebelum ini, Itali dan Austria menafikan rakyat mereka berada dalam pesawat MH370 dan pihak berkuasa berkenaan mendakwa pasport Luigi Maraldi (Itali) dan Christan Kozel (Austria) telah dicuri di Asia Tenggara beberapa tahun lalu. 

Tiket dua penumpang ini juga dibeli dengan China Southern Airlines dalam mata wang baht pada masa sama. Kedua-dua tiket penerbangan itu ditempah bagi destinasi Kuala Lumpur-Beijing sebelum diteruskan ke Amsterdam. Delavar sepatutnya meneruskan perjalanan ke Copenhagen manakala Pouri akan ke Frankfurt. 

Sementara itu, Ketua Polis Wilayah Selatan Thai Lt Jeneral Panya Maman memberitahu AFP: “Kami percaya kedua pasport ini dicuri sindiket pemerdagangan manusia yang menghantar mangsa bekerja di negara lain terutama di Eropah.” 

Katanya, lelaki Iran dikenali sebagai “Mr Ali” yang menempah tiket di atas nama dua pemegang pasport Eropah dipercayai pernah menetap di Malaysia dan mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa. Menurutnya, kira-kira 2,000 pasport hilang atau dicuri di Thailand setiap tahun. - Agensi 




0 comments:

Post a Comment