ALOR SETAR – Syarikat penerbangan negara, Penerbangan Malaysia (MAS) disaran memansuhkan hidangan arak dalam pesawat serta menilai semula pakaian pramugari yang dikatakan terkeluar dari landasan syarak.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, perkara itu wajar diberi perhatian oleh pengurusan tertingginya dengan melihat kepada aspek peringatan ALLAH SWT ekoran nahas membabitkan dua pesawat MH370 pada Mac lalu dan terkini MH17.
Beliau berkata, tragedi dan musibah yang berlaku adalah ketentuan ALLAH SWT namun kerajaan atau MAS perlu menilai kepada aspek keagamaan, kemungkinan ada unsur peringatan-Nya berhubung apa yang berlaku dalam pesawat.
“Sebagai syarikat penerbangan sebuah negara Islam, saya kesal kerana hidangan arak tidak pernah cuba dimansuhkan termasuk aspek Islamik seperti aurat pekerja wanita serta pakaian yang disifatkan tidak mengikut landasan syarak.
“Apabila kita menaiki pesawat MAS, penumpang tidak merasai seperti pesawat itu dikendalikan sebuah negara yang saban tahun menganjurkan musabaqah al-Quran malah menjadi johan saban tahun dalam taranum.
Perkara ini amat mengecewakan kerana ayat-ayat al-Quran yang dialunkan mengandungi banyak hukum berkenaan arak dan aurat serta tanda-tanda kemurkaan ALLAH SWT,” katanya.
Ahmad Tarmizi turut memetik Firman ALLAH: “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” (QS Al-Baqarah 208)
“Mengabaikan perintah mengharamkan arak serta perintah menutup aurat ertinya menolak sebahagian isi kandungan kitab al- Quran. Firman ALLAH, “Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian dari padamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. ALLAH tidak lengah dari apa yang kamu lakukan (QS Al-Baqarah 85),” katanya.
Ia menyokong kenyataan bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin yang menegur kerajaan secara terbuka selepas insiden MH370 berhubung jualan arak dalam pesawat MAS.
“Teguran ini adalah daripada suara rakyat yang cintakan Islam. Mac lalu kita dikejutkan dengan tragedi kehilangan pesawat MH370, kini pesawat MH17 pula dilaporkan terkena tembakan ‘syubhah’ sama ada Rusia mahupun Ukraine,” katanya.
Beliau juga tidak berhasrat mempersenda insiden itu namun aspek keagamaan perlu diberi penelitian.
“Kami berasa sedih dan simpati kepada keluarga mangsa. Sudah tiba masanya kerajaan dan MAS melihat yang menimpa mutakhir ini dari sudut paling asas iaitu unsur ketuhanan dan kehambaan,” katanya. Sinar Harian Online
ada betulnya juga nasihat yg diberikan tu..harap pihak mas dapat pertimbangkan..
ReplyDelete