Filled Under:

Jangan Layan Suami Orang


"APA yang saya ceritakan di bawah ini bukan bertujuan nak mengajar sesiapa pun terutama kaum wanita mahupun andartu, tetapi sekadar memberi pandangan supaya orang tak panggil anda sebagai pepatah Melayu 'perampas suami orang’, sebab 'tak tumbuh tak melata, tak sungguh maka orang tak kata.’ Kerana banyak kes wanita yang bermati-matian hendakkan suami orang. Kita nasihat pun dia tak peduli, konon atas alasan cinta.

"Saya bercakap daripada pengalaman sendiri. Saya dapati suami saya mula berubah perangai dan kelakuannya semenjak tiga tahun lalu. Saya perhatikan dia suka sangat balik lewat dan kalau bercakap telefon mesti berjalan keluar rumah. Konon tak mahu ganggu orang lain atau tak terdengar suara panggilan, tetapi sebenarnya dia tak mahu saya dengar dia berbual dengan teman wanitanya.’’ Itu cerita Hanumsuria dalam e-melnya.

"Mula dulu saya fikirkan benarlah ceritanya. Jadi bila telefon Johan berbunyi, maka saya suruh anak-anak diam atau kecilkan suara tv. Maklum ada urusan penting.

"Tetapi Johan tetap berjalan keluar sambil berbual, namun saya biarkan sahaja keadaan berlalu, memikirkan Johan lebih senang berbual dengan kawan di luar rumah. Maklum ditakuti ada rahsia penting pejabat akan diketahui oleh anak-anak yang sudah remaja.

"Demikianlah masa terus berlalu, dan Johan semakin kerap mendapat panggilan telefon tanpa gangguan saya dan anak-anak. Namun sebagai isteri yang telah berkahwin lebih 20 tahun, saya dapat merasakan kelainan perangai Johan selepas menjawab telefon.

"Saya percayakan Johan, namun saya tak mahu luka lama berdarah semula, sebab itu saya biarkan Johan bebas macam orang main layang-layang, bila terlalu tinggi saya tarik talinya ke bawah. Sebab saya tak mahu dia terus terbang melayang macam layang-layang putus tali.

"Tetapi satu hari anak gadis kecil saya Nina berusia 14 tahun beritahu, kawannya ternampak Johan makan dengan seorang wanita di sebuah kedai R&R di Rawang, ketika itu mereka dalam perjalanan pulang ke rumah dari Tg Malim.

"Pasti saya terkejut, tapi dengan wajah selamba saya beritahu mungkin dia salah orang, atau mungkin ayahnya sedang jumpa kawan pasal kerja. Nina terima penjelasan saya tanpa banyak bicara. Tetapi kepala otak saya pula yang penat bekerja kerana berfikir mengapa Johan keluar makan begitu jauh sampai ke Rawang, sedangkan banyak kedai makan ada di KL mahupun di PJ. Mengapa ke Rawang?

"Setiap isteri pun mesti berkata-kata dalam hatinya, mengapa pergi makan begitu jauh dan dengan perempuan, sedangkan dia sering berbual telefon dengan lelaki.

"Tiga hari lamanya saya berfikir tentang isu Johan makan di Rawang. Akhirnya kerana desakan ingin tahu menguasai diri, satu hari dalam diam saya cari semula bil telefon Johan dan saya buat analisis sendiri dan mengambil nombor-nombor yang Johan sering buat panggilan. Terkejut beruk saya bila saya lihat cuma ada dua nombor yang Johan telefon, satu telefon bimbit, dan satu lagi telefon talian tetap.

"Kerana tidak sabar ketika itu juga saya telefon nombor yang tertera yang Johan sering dakwa staf lelakinya. Ternyata pemiliknya seorang wanita.

"Saya tak gugup sebaliknya saya menyamar tersalah nombor telefon. Saya teka namanya dan beritahu konon saya saudaranya ingin beritahu tentang ibunya yang sakit di kampung. Wanita itu menafikan namanya dan beritahu ibunya dah lama meninggal. Saya tanya lagi adakah dia bekerja dengan jabatan kerajaan dia nafikan sebaliknya dengan syarikat swasta. Kini saya dapat bukti lengkap rahsia Johan hampir pecah.

"Saya nekad untuk dapatkan semua bukti sebelum bertindak. Kerana saya tahu daripada pengalaman lalu Johan memang cekap berbohong. Setelah dapat semua bukti, satu malam selepas makan ketika anak-anak tidak ada di rumah dan sedang belajar di bilik, saya tanya Johan siapa Norjehan. Terkejut beruk Johan, dia tak sangka dalam baik saya dapat perangkap aktiviti jahatnya. Walaupun dia berdalih, saya buktikan dia berjumpa di Rawang.

"Kerana semua bukti depan mata, Johan tak berdaya berdalih tetapi dia marahkan saya kerana mengawal kehidupannya. Saya nafikan, buktinya dia ada kekasih, kalau saya sekat tentu dia tak ada kekasih. Enam tahun lalu dia berjanji tidak akan buat angkara lagi. Kata terakhir saya pada Johan, kalau nak kahwin tolong ceraikan saya dan tolong keluar rumah.

"Kelemahan Johan dia sayang anak-anak, atau mungkin dia tak berani memulakan hidup baharu. Selepas beri amaran pada Johan, saya telefon Norjehan. Saya kenalkan diri saya, dan ajak berjumpa. Dia menolak. Tapi saya nasihatkan dia supaya buat dua pilihan, pertama tolong tinggalkan Johan atau minta Johan ceraikan saya segera supaya dia boleh kahwin dengan Johan, kerana saya tak mahu berpoligami.

"Walaupun dia menafikan, tapi saya nasihatkan kalau dia tahu Johan sudah berkeluarga mengapa dia layan bercinta dengan Johan. Kalau Johan pujuk sekali pun jika dia ada pendirian tentu dia tolak keluar dengan suami orang. Jadi untuk mengelakkan diri daripada dituduh perosak rumah tangga orang atau perampas suami orang, cuba daripada awal elakkan keluar makan dan melayan panggilan cinta suami orang.

"Saya jenis wanita yang tak suka bergaduh baik dengan suami atau kekasihnya. Saya cuma minta diceraikan sebab saya tahu Johan tak mampu beristeri dua. Namun saya sedar jika semua anak-anak habis belajar dan berdikari, mungkin Johan akan buat hal lagi. Jadi daripada saya diceraikan ketika telah tua, lebih baik kami berpisah ketika masih muda. Bukan kerana saya ingin kahwin lagi, tetapi kerana saya mahu jaga maruah saya.

"Saya tak pernah sekat kehendak Johan beristeri lagi, mungkin kerana dia mahukan wanita yang lebih muda untuk melayannya, tetapi saya tidak sudi berpoligami, kerana saya tahu tahap kemampuan Johan baik dari segi kewangan mahupun fizikalnya.’’ Itu nasihat Hanumsuria kepada wanita jika tak mahu dipanggil perampas suami orang. Utusan Melayu




0 comments:

Post a Comment