Lokasi Kampung Chubadak yang hanya lima kilometer dari pusat bandar menjadikan kawasan tersebut umpama lubuk emas dan menjadi rebutan banyak pihak untuk membangunkannya dengan penempatan mewah yang sudah tentu memberi pulangan jutaan ringgit.
Tatkala kawasan di sekelilingnya dipacakkan bangunan-bangunan tinggi, kampung yang berusia lebih 50 tahun ini masih di takuk lama.
Sekali pandang, kampung tersebut umpama setinggan di Ciliwung, Jakarta, cuma bezanya Kampung Chubadak bukan berstatus setinggan walaupun kebanyakan orang beranggapan sebegitu.
Menurut maklumat yang diperoleh, tanah di kampung tersebut telah memperolehi pengiktirafan milikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1998 yang mengatakan bahawa ia adalah milik peneroka-peneroka bandar dan perlu membayar ganti rugi kepada mereka sekiranya ingin memajukan kawasan tersebut.
Menurut keputusan itu, ganti rugi yang perlu dibayar oleh pemaju adalah berdasarkan keseluruhan kos yang dialami penduduk untuk kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian rumah atau mereka dibayar dengan nilai semasa rumah yang ditaksirkan oleh penilai tanah bebas yang dipersetujui bersama kedua-dua pihak serta pembayaran segala kos sampingan berhubung penempatan semula penduduk.
Bagi mendapat gambaran yang jelas, wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia menyusuri kampung berkenaan berikutan berlakunya pertikaman lidah di antara penduduk dan pemaju yang didakwa menceroboh kawasan kampung tersebut baru-baru ini.
Penduduk mendakwa, pemaju telah membina pagar berdekatan jalan utama ke kampung tersebut sehingga empat buah rumah penduduk telah dirobohkan.
Oleh itu, maka terjadinya pertelingkahan di antara pemaju dengan penduduk yang masih belum ada kesudahannya sehingga kini.
Difahamkan, penduduk di kampung tersebut merupakan waris generasi keempat kepada mereka yang meneroka dan menetap di kawasan itu seawal tahun 1980-an.
Namun pada pada tahun 1996, kampung tersebut digegarkan dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan pemaju untuk membina beberapa blok apartmen di kawasan berkenaan.
Natijahnya, bagi mempertahankan kampung mereka, ramai di kalangan penduduknya pernah bermalam di lokap gara-gara mengadakan perhimpunan bagi menghalang pemaju daripada meneruskan kerja-kerja pembinaan.
Sebahagian daripada penduduk pula menerima tawaran yang diberikan oleh pemaju iaitu pampasan sebanyak RM7,000 dan sebuah rumah untuk diduduki iaitu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda.
Menurut Ketua Kampung Chubadak Tambahan, Rahim Ali, sebelum ini telah beberapa kali penduduk membuat bantahan kepada DBKL namun tiada tindakan yang diambil memandangkan ia bukan di bawah bidang kuasa mereka kerana tanah berkenaan adalah hak pemaju.
Katanya, yang menjadi kemusykilan ialah bagaimana tanah kampung itu dijual kepada pemaju tanpa diiklankan serta di luar pengetahuan penduduk yang menjadi pewaris kepada tanah tersebut.
"Penduduk kampung bukanlah menolak pembangunan yang hendak diadakan namun mengapa mereka menggunakan cara yang kasar begini... pendapat kami langsung tidak diambil kira dalam membuat sebarang keputusan.
"Jika benar sekalipun di luar bidang kuasa DBKL, tidak bolehkah DBKL membantu kami untuk memperjelaskan masalah tersebut dan bukan hanya dengan menawarkan unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sahaja untuk menempatkan kami.
"Kami bukan setinggan. Kami adalah pewaris kepada tanah peneroka-peneroka bekas lombong ini dan kami memerlukan keprihatinan semua pihak bagi menyelesaikan kemelut yang menimpa penduduk perkampungan Melayu ini," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Chubadak.
Tambahnya, lebih menyedihkan, DBKL telah mengkategorikan kampung tersebut sebagai penempatan setinggan dalam Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020 yang telah dilancarkan pada tahun 2008 bersama-sama lima buah kampung lagi.
Kampung lain ialah Kampung Padang Balang, Kampung Bandar Dalam, Kampung Sungai Merali, Kampung Bahagia dan Kampung Puah.
"Saya hairan mengapa kampung-kampung ini dikatakan setinggan setelah nenek moyang kami yang meneroka kampung ini satu masa dahulu," katanya.
Seorang lagi penduduk, Ramlee Ahmad, 38, memberitahu, keadaan di kampung tersebut menjadi kucar-kacir sejak beberapa tahun dahulu apabila pihak pemaju mula menutup dan mengubah laluan utama untuk masuk keluar ke kampung berkenaan tanpa membuat sebarang makluman.
Ujarnya, jalan tersebut ditutup bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan dijalankan. Tambahnya, berang dengan tindakan tersebut, penduduk beberapa kali mencabut pagar-pagar yang didirikan menyebabkan pemaju 'kepanasan' sehinggakan terpaksa melibatkan campur tangan polis bagi menyelesaikan isu tersebut.
Malangnya, ia pasti berakhir dengan pertelingkahan dan penahanan penduduk kampung walaupun pada awalnya hanyalah niat untuk mengadakan perbincangan sahaja.
"Kalau tidak silap saya, sudah beberapa kali saya terpaksa berdepan dengan insiden di mana penduduk kampung ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kerana kesalahan kacau ganggu pemaju.
"Namun apa yang membanggakan saya ialah penduduk kampung ini tidak kisah bermalam di lokap demi memperjuangkan nasib tanah mereka dilahirkan seperti mana yang dilakukan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan negara dahulu.
"Jadi saya amat berharap, kerajaan dapat campur tangan bagi menyelesaikan masalah ini demi kepentingan hak orang Melayu yang menetap di kampung ini," tegasnya.
Bagi Siti Solehah Husaini, 44, walaupun dia telah beberapa kali ditangkap polis kerana menghalang kerja-kerja pembinaan yang dijalankan pemaju, dia tidak kisah asalkan tanahnya tidak tergadai.
"Setiap kali saya ingin berbincang dengan pemaju mengenai hak tanah ini, pastinya ia tidak dapat dilaksanakan dengan baik sehingga menyebabkan pergaduhan dan yang terbaru ialah pada 21 Ogos 2008 lalu di mana anak saya juga ditangkap.
"Saya tidak tahu apakah kesalahan kami... memperjuangkan hak ke atas kampung sendiri daripada diceroboh pun dikira kesalahan sehingga boleh ditahan.
"Penduduk kampung sama sekali tidak menolak pembangunan yang hendak dijalankan tetapi biarlah dengan beradab memandangkan kami adalah pewaris kepada tanah ini," katanya.
Nada yang sama disuarakan oleh Rosidah Mohd. Daud, 43, yang mengakui bahawa masalah tersebut berlaku memandangkan penduduk tidak mempunyai geran tanah yang membuktikan tanah tersebut milik mereka, berbeza dengan pemaju yang memiliki geran tersebut.
"Saya tidak tahu bagaimana pemaju memperoleh geran tanah tersebut sedangkan kami tidak mengetahui siapa yang menjual tanah ini.
"Apa yang kami tahu, kami mempunyai keputusan mahkamah yang mengatakan bahawa kami mempunyai ekuiti ke atas tanah kampung ini, yang membezakan antara kami dengan penduduk setinggan," ujarnya.
Begitulah nasib segelintir penduduk di Kampung Chubadak Tambahan yang hak mereka ke atas tanah diduduki masih samar-samar namun tidak akan berganjak daripada pendirian mereka untuk tetap utuh memperjuangkannya.
Itu adalah apa yang telah dilaporkan mengenai Kampung berkenaan oleh Utusan Malaysia pada 25hb Ogos 2008 di SINI
Masa berganti masa, hari berganti minggu, minggu berganti tahun.. tiba-tiba pagi semalam, dua buah rumah penduduk Kg Chubadak Tambahan dirobohkan melalui operasi DBKL.
Dikhabarkan pada waktu kejadian ada lagi 50 keluarga di sana.
Khabarnya, khamis ini lebih banyak rumah akan menyembah bumi, padahal, kes masih dalam bicara Mahkamah Tinggi.
DBKL dengan tidak memperdulikan dan memikirkan nasib penghuni-penghuni yang ada dengan lagak laksana tentera Israel bakal merobohkan rumah-rumah yang ada..
Dikhabarkan juga selama ini penduduk-penduduk di Kampung ini begitu setia kepada UMNO tapi ini bukan soal politik.. ini soal perikemanusiaan..
Walaupun mereka menyokong UMNO/BN, mereka juga punya hak untuk hidup selesa walaupun tak selesa seperti dua ekor Panda dari China itu..
Sumber gambar dari Facebook Mazlan Aliman
0 comments:
Post a Comment