Filled Under:

Jurujual Tak Mengaku Ramas Punggung Rakan Sekerja

Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam terhadap tuduhan mencabul rakan sekerjanya yang berusia 34 tahun di sebuah pasar raya di Taman Dagang, Ampang Ahad lalu. 

Tertuduh, Japli Panaiman, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zulyana Zollkapli selepas tuduhan dibacakan terhadapnya. 

Mengikut kertas tuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita itu dengan niat mencabul kehormatan jam 1.30 tengah hari, 20 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum menawarkan wang jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon agar mahkamah mengurangkan wang jaminan atas alasan dia mempunyai dua anak untuk ditanggung.

Selepas mempertimbangkan permohonan dan rayuan kedua-dua pihak, Zulyana membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah juga menetapkan 29 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen. josrevalution




0 comments:

Post a Comment