Filled Under:

Parkir Khas Untuk Wanita Mengandung


Putrajaya: Pengurusan Kompleks Jabatan Perdana Manteri (JPM) Parcel B, di sini, mencipta sejarah tersendiri apabila mewujudkan parkir khas untuk wanita mengandung, terutama buat kakitangan kerajaan yang bertugas di pusat pentadbiran itu.

Tiga lot parkir khas ditanda dengan papan tanda ringkas menggunakan karikatur wanita mengandung itu bukan saja melegakan kakitangan wanita mengandung yang memandu kereta, malah ia inisiatif penting bagi menggambarkan keprihatinan pengurusan kompleks pentadbiran berkenaan.

Lebih menarik, lot khas berkenaan bukan saja yang pertama diwujudkan di Putrajaya, sebaliknya ia kemudahan pertama seumpamanya yang boleh didapati dan dilihat di negara ini. Kemudahan lot parkir istimewa yang terletak antara Blok B6, B7 dan B8 itu mula dibuka untuk kakitangan awam mengandung yang bertugas di kompleks itu sejak November tahun lalu.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Pentadbiran Am JPM, Halimah Hashim berkata, usaha mewujudkan lot parkir itu dibuat hasil pandangan diutarakan kakitangan awam yang bertugas di kompleks itu yang mahu lot parkir khas diwujudkan bagi wanita mengandung.

Katanya, kemudahan itu akhirnya disediakan pada akhir tahun lalu selepas mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dilakukan antara wakil dan ketua bahagian agensi JPM di kompleks itu sepakat bersetuju dengan pandangan dan idea berkenaan.

“Kami melihat banyak kesukaran dihadapi kakitangan wanita mengandung di sini yang terpaksa merebut untuk meletakkan kenderaan di dalam kompleks ini dengan kakitangan awam lain setiap pagi. “Tiba masanya kemudahan itu disediakan kerana ia membantu meringankan beban kakitangan berkenaan.

Ketika ini kita hanya menyediakan tiga lot parkir tetapi ada perancangan untuk mewujudkan lebih banyak parkir sama pada masa depan, termasuk di setiap blok pentadbiran di sini,” katanya di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, kemudahan itu bukan hanya diberi kepada kakitangan wanita mengandung tertentu, sebaliknya berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’. “Selain itu, kakitangan yang mengandung juga dibenar meletakkan kereta secara berlapis, terutama berhampiran pejabat masing-masing bagi memudahkan pergerakan mereka,” katanya.

Menurut Halimah, sebanyak 12 agensi kerajaan beroperasi di dalam kompleks berkenaan di lapan blok pentadbiran membabitkan 3,800 kakitangan, sedangkan lot parkir disediakan hanya 2,800 lot.

Katanya, daripada 2,800 lot parkir disediakan, 140 lot parkir dikhususkan kepada kakitangan orang kurang upaya (OKU), kenderaan jabatan dan pelawat yang berurusan di JPM.

“Kemudahan letak kereta di dalam kompleks berkenaan sangat kritikal, namun usaha sentiasa dilakukan, termasuk menjalin kerjasama dengan Perbadanan Putrajaya untuk mewujudkan ruang parkir tambahan di luar kompleks bagi keperluan kakitangan awam dan pelawat JPM,” katanya.

Beliau berharap kemudahan sedemikian menjadi contoh dan amalan kepada agensi dan kompleks pentadbiran lain di Putrajaya dan di seluruh negara pada masa depan. hmetro




0 comments:

Post a Comment