Filled Under:

Keith Foo Tenang Walau Tengku Adam di Persoal Peminat

Fenomena drama bersiri ‘Ariana Rose’ ternyata memberi impak besar kepada pelakon Keith Foo apabila namanya kini mula meniti di bibir peminat drama Melayu tempatan. Namun, baru-baru ini drama tersebut telah mencetuskan kontroversi apabila ada segelintir pihak mempertikaikan lakonan Keith Foo yang membawakan watak sebagai Tengku Adam Kamil.


Ini kerana, watak tersebut adalah seorang yang beragama Islam dan memerlukannya bersolat serta membaca Al-Quran dan perkara ini sekaligus menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak memandangkan Keith bukan beragama Islam.

“Saya tak boleh mempertikaikan tanggapan negatif masyarakat kerana setiap orang ada pendapat dan cara pemikiran mereka masing-masing. Saya sendiri bersyukur dapat berlakon sebagai seorang Muslim dan juga orang Melayu,” ujar Keith ketika ditemui sewaktu melakukan lawatan kebajikan anjuran Mamee di Pusat Jagaan Beautiful Gate di Puchong, pada Isnin.

“Bagi saya, ia bukan satu perkara negatif kerana jika dilihat dari sudut positif, saya boleh kongsi ilmu yang saya pelajari dengan rakan-rakan bukan Islam. Dari sisi lain juga, saya dapat belajar agama orang lain di mana pada masa akan datang, saya boleh terangkan kepada orang lain jika ada yang bertanyakan kepada saya,” ujar Keith.

Tambah pelakon yang membina karier seni di Indonesia selama 10 tahun ini lagi, kontroversi yang timbul tidak sedikit pun menjejaskan karier seninya dan memberitahu tidak akan menolak andai ada tawaran watak yang sama kepadanya kelak. Ketika ditemui, aktor kacak ini turut mengakui isu tersebut menjadi pemangkin untuk dia memperbaiki serta meningkatkan lagi bakat lakonannya pada masa akan datang.


“Sebagai pelakon, saya percaya kita jangan membataskan watak kita sebab dah nama pun hanya berlakon. Namun, setiap watak ada batasannya dan selagi diberi kepercayaan, kita jangan langgar batas tersebut. Apa yang dilarang kita jangan buat dan kita perlu percaya dan hormat dengan perkara tersebut.

Saya juga tidak melakukan babak yang diberi dengan sambil lewa sebab tak mahu tersalah buat. Apapun, isu ini membuatkan saya lebih semangat untuk bekerja dengan lebih keras lagi selepas ini,” tutur Keith sambil mengakui tidak kisah apabila menjadi pilihan terakhir untuk memegang watak Tengku Adam selepas Adi Putra, Aaron Aziz dan Remy Ishak.

“Saya terkejut apabila ditawarkan watak ini dan anggap ia adalah rezeki saya. Menjadi pilihan pertama atau kedua bukan satu isu kerana saya percaya dengan rezeki masing-masing. Bagi saya, kesempatan itu datang pada bila-bila dan mungkin bukan kesempatan mereka untuk melakonkan watak ini. Apapun, mereka lebih berpengalaman dan saya tak rasa lebih popular daripada mereka. Malah, saya rasa bersyukur jika saya dapat berlakon bersama dengan mereka kelak,” ujar Keith mengakhiri perbualan.




0 comments:

Post a Comment