Filled Under:

Penganjur Program Sentuh Anjing Akhirnya Bersuara

Syed Azmi Alhabshi akan mengadakan sidang media esok berkenaan program anjurannya 'I Want to Touch a Dog' yang baru-baru ini menimbulkan kemarahan Melayu Muslim. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Oktober, 2014.


Selepas hampir seminggu mendiamkan diri walaupun negara kecoh akibat program yang dianjurkannya Ahad lepas, penganjur 'I Want to Touch a Dog' muncul mengumumkan beliau akan mengadakan satu sidang media esok.

Syed Azmi Alhabshi akan menjelaskan kepada media isu yang timbul berhubung acara kontroversi yang diadakan di Petaling Jaya, yang menimbulkan kemarahan ramai orang Melayu Islam yang merasakan ia menghina agama itu.

Semalam, aktivis sosial itu akhirnya bersuara di media sosial dan menulis komen di laman Facebook program itu yang ditutup kepada orang ramai.

Melalui satu posting yang ditulis penganjur meminta peserta memadamkan gambar mereka semasa menyertai program itu, Syed Azmi meluahkan simpati kepada mereka yang menghadapi kesukaran.

“Saya minta maaf sangat kepada mereka yang sedang dalam kesusahan sekarang. Sungguh. Terima kasih kerana faham permintaan ini,” tulisnya di ruangan komen.

Ditanya bagaimana keadaannya sekarang, Syed Azmi menjawab, “Hello. Saya okay. Maaf, sibuk menguruskan beberapa projek spontan yang saya rancang untuk mulakan esok."

Sepanjang seminggu ini, beliau tidak dapat dihubungi apabila pengkritik mengedarkan nombor telefon bimbitnya kepada umum di Internet, menggesa orang ramai menyerangnya.

Beliau juga menerima ancaman bunuh atas talian, dituduh murtad, dilabel Kristian yang menyamar dan dianggap cuba menyebarkan agama baru di kalangan orang Islam di Malaysia.

Tetapi ramai yang menulis di laman Facebooknya, memberi kata-kata sokongan dan galakan, dan mengingatkan beliau kerja kebajikan yang dilakukan sebelum ini seperti mengadakan majlis sembahyang beramai-ramai untuk masyarakat tidak berumah, melawat rumah orang tua dan menyediakan makanan untuk gelandangan dan mangsa banjir.

Dalam satu temuramah dengan The Malaysian Insider Sabtu lepas, Syed Azmi berkata tujuan program itu ialah membantu masyarakat menghilangkan perasaan takut terhadap anjing dan belajar menyayangi semua haiwan seperti yang dituntut Islam.

Katanya, dia memperolehi kelulusan dari pihak berkuasa agama negeri dan menjemput seorang ustaz memberi ceramah berkenaan pandangan agama Islam tentang anjing.

Acara itu menarik kira-kira 1,000 rakyat Malaysian dan ramai yang mengambil kesempatan menyentuh dan membelai anjing yang ada di situ, terdiri dari berbagai baka, sementara para sukarela menunjuk cara membersihkan diri selepas menyentuh anjing seperti diajar Islam. themalaysianinsider




0 comments:

Post a Comment