Dr Mahathir
Malaysia perlu mengambil peluang sebaiknya selepas berjaya memperoleh kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengembalikan kelantangan semasa zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Penganalisis Politik Tempatan dan Antarabangsa, Dr Maszlee Malik berkata, Mahathir perlu memainkan peranannya membantu negara dalam menyatakan pendirian terhadap Kumpulan Negara Islam (IS) yang menjadi kebimbangan dunia. "Sekarang ini kita sudah mendapat kerusi di UNSC, silalah kembalikan kelantangan seperti zaman Mahathir.
"Beliau boleh mainkan peranan di peringkat antarbangsa. Menjadi suara kami...menjadi suara umat Islam untuk menentang ketidakadilan," katanya pada Wacana Sinar Harian ke-32 bertajuk 'Kumpulan Islamic State (IS): Jihadis atau Militan?, di sini, semalam.
Dalam nada berseloroh, Maszlee berkata: “Tun Mahahthir pun, cukup-cukuplah serang Datuk Seri Najib. Tinggalkan kepada PR untuk buat kerja itu.”
Sementara itu, ketika diminta mengulas lanjut mengenai hujahnya itu, Maszlee berkata, kerusi UNSC itu merupakan peluang besar yang boleh dimanfaatkan negara sebagai wakil kepada seluruh manusia yang tertindas di seluruh dunia.
"Ini (UNSC) satu peluang besar buat Malaysia bukan hanya menjadi wakil negara tapi juga menjadi wakil kepada manusia yang tertindas di seluruh dunia serta menjadi suara kepada golongan yang ditindas berhadapan dengan kuasa-kuasa yang zalim.
"Juga menjadi suara kepada Islam kerana sedikit sebanyak kalau Malaysia memainkan peranan yang aktif seperti Turki, ia akan beri harapan kepada anak-anak muda kita bahawa memang kita juga konsisten dalam memperjuangkan nasib orang-orang yang tertindas terutama umat Islam," katanya.
Mengulas soal kedudukan bekas Perdana Menteri itu, Maszlee menambah, Mahathir memiliki keistimewaan tersendiri serta dipandang tinggi oleh pemimpin dunia. "Sebenarnya keistimewaan Mahathir ialah kelantangannya. Di peringkat antarabangsa suara beliau memang relevan dan beliau dilihat tinggi oleh negara-negara luar.
"Kita berharapkan supaya hari ini sama ada Datuk Seri Najib (Perdana Menteri) atau Menteri Luar (Datuk Seri Anifah Aman), gunakan peluang atau kedudukan dalam UNSC untuk mengembalikan kelantangan pendirian Mahathir," katanya.
Menurutnya, pendirian itu meliputi segala keganasan yang berlaku di dunia terutama melibatkan negara Islam seperti di Syria. "Isu Syria tak jelas apa pendirian kita. Sokong ke tak sokong Bashar (Presiden Syria, Bashar Al-Assad) yang bunuh rakyatnya? Kenapa kita tak kecam?
"Malah kita undang wakil Bashar untuk berucap pula. Mungkin ada yang akan kata ini bunyi pembangkang. Tidak. "Ada (juga) pemimpin pembangkang yang duduk jumpa Bashar sekali. Ini apa cerita?," soalnya. sinarharian
0 comments:
Post a Comment