Filled Under:

6 Tips Bercerai Susu Botol. Susu Badan? Ada Petua?


Foto Kredit: nappytimes.wordpress.com

Ini adalah pengalaman saya sendiri di mana apabila anak-anak cerai susu botol, mereka akan tidur lena dan lebih mudah dikendalikan. Ramai yang bertanya bilakah masa yang sesuai untuk cerai susu botol dan bagaimanakah cara untuk cerai susu botol. Ada juga tanya petua paling efektif. In Shaa Allah, saya akan kongsikan di sini.


Keburukan Susu Botol

Sebelum itu, kita perlu tahu, kenapa kita harus memberhentikan botol susu kepada anak-anak yang berumur 2 tahun ke atas? Di bawah adalah keburukan botol susu bagi kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke atas:

1. Anak akan suka menyusu dan kurang makan kerana mereka sudah kenyang susu.

2. Kebanyakan ibubapa yang mempunyai anak yang menghisap susu botol, mereka akan menjadikan botol susu sebagai cara untuk mendiamkan anak atau menidurkan mereka. Jadi apabila terjaga malam, ibubapa akan memberikan susu untuk menidurkan mereka semula, sedangkan itu bukan cara yang bagus untuk mereka.

3. Ibubapa terpaksa membawa peralatan menyusu ke sana sini termasuklah ketika melancong.

4. Tahap kesihatan anak yang menghisap susu botol juga tidak menentu jika ibubapa tidak menjaga kebersihan dengan sebaiknya. Penyakit yang selalu di hadapi adalah cirit birit.

5. Anak akan kerap bangun malam. Sebenarnya adalah normal bayi dan kanak-kanak bangun malam 4 hingga 6 kali. Tetapi jika kita memberikan susu setiap kali anak bangun supaya dia tidur semula maka dia tidak akan tidur semula selagi tidak mendapat susu.


Tips Bercerai Susu Botol
Percayalah, tips di bawah ini sungguh mudah. Kenapa saya katakan mudah? Ini disebabkan saya mengalaminya sendiri. Mari kita lihat.

1. Ibu mesti bersedia dan yakin
Cakap elok-elok dengan anak, bahawa dia tidak perlukan susu botol lagi. Biar dia faham. Contohnya,“Ummi yakin Wajdi sudah besar dan bersedia untuk berhenti susu botol!”

2. Jangan tawarkan selagi anak tidak minta
Jika anak tidak minta, buat apa beri? Bekalkan dengan air masak kalau perlu.

3. Lengahkan jika anak minta botol susu
Contohnya:
“Ummi, nak susu! “
“Boleh tapi Wajdi tolong Ummi dulu. Boleh?”
Kadang-kadang, bila kita lewatkan, anak jadi lupa. Lebih-lebih lagi bila seronok dan leka bermain. Bila haus sangat, dia pandai cari air masak sendiri.

4. Kurangkan kuantiti susu
Jika kita biasa buat 200ml pada satu-satu masa, kurangkan sedikit demi sedikit.
Malam minggu pertama: 200ml
Malam minggu kedua: 150ml
Malam minggu ketiga: 100ml dan seterusnya sehingga kita tidak menawarkan susu kepada anak.

5. Tidak membawa susu botol ketika berjalan-jalan atau melancong
Sebaik-baiknya, ibu perlu maklumkan kepada anak supaya dia bersedia yang tiada susu di sepanjang perjalanan. Bila anak tahu akan perkara ini, lebih mudah dikendalikan. Paling penting, tidak akan mengamuk saat kita seronok melihat pemandangan indah ketika melancong!

6. Gantikan sesi menyusu ketika sebelum tidur dengan aktiviti lain
Antara aktiviti itu seperti bercerita atau menyanyi sambil menggosok lembut badan anak sehingga dia tertidur. Janga pula sambil bercerita, sambil tengok ‘smartphone’ main Facebook. Berikan perhatian penuh pada anak.


Apa kesan positif selepas berhenti?

1. Anak akan mudah makan dan selera bertambah

2. Anak akan lebih berdikari

3. Anak tidak bangun malam/kurang bangun malam

4. Anak akan mudah diajar untuk tidak memakai lampin kerana kurang membuang air kecil

5. Ibu akan dapat tidur yang cukup

Kalau sesiapa ada doa cerai susu, mohon kongsikan dengan saya. Juga sesiapa yang ada pengalaman dan tips sendiri bagaimana pula bercerai susu badan, boleh kongsikan di ruangan komen.

Semoga ada manfaatnya untuk semua! siraplimau




0 comments:

Post a Comment