NINIE menunjukkan gambar kesan jahitan di bahagian kepala anak serta laporan polis.
Kuantan: Hanya kerana menulis komen di akaun Twitter, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Muadzam Shah, Rompin terpaksa menanggung azab apabila mendakwa dia ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh lebih 14 pelajar senior yang tidak berpuas hati dengan tindakannya itu.
Difahamkan, mangsa berusia 15 tahun itu menulis komen berbunyi ‘Aku tak heran kalau result SPM jatuh’ yang dikatakan ditujukan kepada pelajar senior terbabit hingga mengundang rasa tidak puas mereka.
Tidak cukup mangsa dibelasah tanpa belas kasihan, seorang daripada pelajar senior terbabit dikatakan menghayun tin biskut ke kepala mangsa hingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk mendapatkan rawatan.
Akibatnya, mangsa Hafiz Iskandar Abdul Rashid, 15, dari Kampung Seri Damai di sini, bukan saja mengalami lebam seluruh anggota badan, malah menerima lapan jahitan di kepala. Susulan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan Rabu lalu, selain pelajar malang itu turut ditukarkan ke sekolah lain kerana trauma.
Ibu saudara mangsa, Ninie Ariffin, 25, berkata, kejadian itu berlaku pada Isnin lalu ketika anak saudaranya berada di bilik asrama sekolah berkenaan sebelum dia dipanggil seorang pelajar tingkatan lima ke bilik lain.
“Apabila tiba di bilik berkenaan, dia (Hafiz) mendapati ramai pelajar tingkatan lima berada di situ dan mereka menyoal mengenai komen yang dibuat sebelum kumpulan pelajar terbabit menumbuk dan menendangnya tanpa belas kasihan.
“Seorang daripada pelajar terbabit kemudian mengambil tin biskut lalu menghayun ke kepala Hafiz menyebabkan bahagian kanan kepala anak saudara saya berdarah. “Mereka turut mengugut Hafiz supaya tidak mengadu kejadian itu kepada sesiapa atau mereka akan melakukan sesuatu terhadapnya selain akan mencarinya sehingga ke rumah,” katanya, semalam.
Ninie berkata, walaupun anak saudaranya sudah ditukarkan ke sekolah lain, mangsa masih trauma dengan kejadian menimpanya. “Hafiz memaklumkan itu bukan kejadian pertama dia dibuli pelajar senior, namun dia tidak pernah melaporkan kejadian sebelum ini.
“Kami kecewa apabila pihak sekolah tidak memandang serius mengenai perkara ini dan mereka pada mulanya seolah mahu menyembunyikan kejadian sebenar,” katanya. Menurutnya, keluarganya berharap pembuli terbabit dikenakan tindakan setimpal dan meminta pihak sekolah lebih peka dengan kejadian buli.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Johari Jahaya, ketika dihubungi semalam, berkata, pihaknya sudah melakukan tangkapan selepas laporan dibuat oleh mangsa dan pelajar terbabit ditahan reman selama sehari untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan. “Kes ini masih dalam siasatan lanjut,” katanya.
Harian Metro cuba mendapatkan komen daripada Pengarah Pendidikan Pahang, Rosdi Ismail, mengenai kejadian itu, namun tidak berjaya kerana beliau enggan menjawab panggilan telefon yang dibuat. HMetro
0 comments:
Post a Comment