BRAN Ferren, 61, ahli teknologi, jurutera, pereka kenderaan, arkitek dan usahawan terkenal menghabiskan berjuta-juta dolar untuk menghasilkan trak gergasi yang sangat istimewa. Trak tersebut mampu untuk mengembara ke serata dunia dan ia dinamakan KiraVan, bersempena nama anak perempuannya yang berusia empat tahun.
Rekaan dalaman trak tersebut sungguh tidak masuk akal. Ia mempunyai hampir semua keperluan asas daripada pejabat, dapur lengkap dengan meja makan dan bilik tidur. KiraVan turut mampu mengembara sehingga 2,000 batu tanpa perlu mengisi semula minyak dan tayarnya yang istimewa mampu membawa ia melalui jalan berselut di kawasan paya.
Malah, kenderaan gergasi beroda enam itu turut dilengkapi motosikal khas dan pesawat kecil tanpa pemandu bagi memeriksa keadaan lalu lintas. Menariknya, trak tersebut direka khas oleh Bran untuk membawa anak kesayangannya itu bercuti dan berkhemah dengan selamat.
Ujar pengasas dan Ketua Pegawai Kreatif Applied Minds, firma teknologi dan rekaan yang antara kliennya ialah General Motors, Intel dan Tentera Udara Amerika Syarikat, dia menghabiskan masa selama empat tahun bertemu dengan pelbagai pakar sebelum memuktamadkan rekaan trak tersebut.
Sebelum mempunyai anak, Bran merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti lasak dan berbahaya seperti berlumba motosikal dan memandu helikopter. Namun, semua itu berubah apabila dia dianugerahi anak sendiri. Bran lebih memikirkan keselamatan diri demi anaknya tetapi pada masa yang sama masih mahu mengembara.
Dia memastikan KiraVan mencapai tahap keselamatan yang paling tinggi demi anaknya itu. Bran juga kini sedang menyiapkan kerusi khas untuk Kira yang dapat menghilangkan hentakan supaya anaknya itu dapat menonton kartun dengan gembira tanpa gangguan.
Bahagian atas KiraVan turut memiliki khemah istimewa untuk Kira menikmati perkhemahan dengan selamat.
realitiabadi
0 comments:
Post a Comment