Filled Under:
Hiburan
"Scha Mengidam Lauk Kenduri Kahwin" - Awal Ashaari
Posted By:
Unknown
on January 23, 2014
Pengacara Awal Ashaari melahirkan rasa syukur apabila isteri tercinta, Scha Al-Yahya akhirnya disahkan hamil setelah hampir dua tahun mereka mendirikan rumahtangga. Awal ketika dihubungi memberitahu dia bersyukur kerana doa mereka selama ini untuk mendapatkan zuriat telah dimakbulkan Allah SWT dan mengakui teruja untuk bergelar bapa.
“Terima kasih kepada semua peminat yang tidak pernah lekang berdoa agar kami dikurniakan zuriat. Alhamdulillah, doa kami dan juga peminat semua termakbul apabila Scha kini hamil empat bulan. Tidak dinafikan saya berdebar namun sudah tentu saya teruja apabila mendapat tahu isteri saya hamil,” ujar Awal mengakui pada mulanya agak sukar untuk mempercayai isterinya hamil.
“Pertama kali Scha membuat ujian kehamilan ketika berada di rumah. Sewaktu itu, saya berada di bawah dan tiba-tiba Scha berlari ke arah saya sambil menangis. Saya tanya kenapa dan Scha suruh saya pergi ke tandas dan di situ, saya nampak alat uji kehamilan yang menunjukkan keputusan positif. Waktu itu saya relaks lagi, sebab kurang pasti sama ada keputusan tersebut tepat atau tidak.
Kemudian kami beli 6 lagi alat penguji kehamilan pelbagai jenama dan semuanya menunjukkan keputusan positif. Bagi mendapatkan kepastian sebenar, kami jumpa doktor dan hasil pemeriksaan darah, memang sah Scha hamil. Sewaktu itu dia dah mengandung empat minggu dan bila doktor cakap begitu, baru saya boleh terima hakikat dan berasa teruja sangat ,” kongsi Awal sambil memberitahu turut menerima tempias kehamilan isterinya.
“Pada awal kehamilan Scha, saya turut berasa loya. Namun, loya saya tidaklah seteruk alahan yang Scha alami. Setiap setengah jam dia akan muntah dan tidak boleh bau apa saja termasuklah bau wangian saya. Mulanya saya pelik namun lama-kelamaan saya kesian pada dia sebab alahan dia memang teruk sangat.”
Awal turut berkongsi sepanjang kehamilan isterinya, Scha tidak mengidam apa-apa yang pelik cuma dia sekarang tidak suka makan dengan makanan yang dia suka selama ini. Menurut Awal, citarasa isterinya sekarang lebih kepada masakan kampung dan lauk kenduri kahwin seperti rendang, nasi tomato dan daging dendeng.
Disebabkan itu, dia telah meminta Pak Ungku untuk memasak lauk tersebut memandangkan Pak Ungku merupakan orang yang bertanggungjawab menyediakan katering sewaktu perkahwinan mereka dulu. Ketika ditanya sama ada Awal akan meminta isterinya menghadkan jadual kerja sepanjang kehamilan ini, ini jawapannya.
“Saya tak minta lagi tapi dia sendiri dah cakap yang dia nak berehat dan tak mahu ambil apa-apa tawaran buat masa ini. Namun, Scha tetap akan meneruskan komitmennya dengan Anugerah Juara Lagu ke-28 dan akan berehat selepas selesai anugerah tersebut. Salah satu sebab kami membuat keputusan untuk mengumumkan berita kehamilan ini juga adalah untuk orang tahu keadaan dia sekarang.
Lagipun, latihan AJL akan mengambil masa yang lama dan bukan kata Scha nak diberi kelebihan, tapi kami tak mahu ambil risiko. Doktor sendiri suruh Scha batalkan semua kerja namun sebab AJL dah ditetapkan sebelum ini lagi, jadi dia kena buat juga. Cuma doktor nasihatkan supaya dia tidak terlalu banyak bergerak,” ujar Awal mengakhiri perbualan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment