Filled Under:

Maut di rumah pengasuh



KUALA LIPIS - Seorang pengasuh tergamam apabila melihat bayi asuhannya yang berusia lapan bulan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di beret tentera Kem Batalion ke 8 Askar Melayu di Raja (RAMD) Kem Kuala Lipis.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang kelmarin, pengasuh berusia 33 tahun terbabit melihat bayi asuhannya, Harith Haiqal Iqbal Muhamad Yusof, tidak bergerak di atas katil selain mulutnya mengeluarkan buih.

Menurutnya, sejurus melihat keadaan bayi berkenaan, pengasuh terbabit bertindak membawa bayi itu ke Hospital Kuala Lipis untuk pemeriksaan.

“Sejurus sampai di hospital bayi berkenaan disahkan meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan pihak forensik dari Kuantan mengesahkan bayi terbabit meninggal dunia akibat jantung bengkak dan tiada unsur-unsur penderaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, ibu mangsa, Noor Suzilawati Nordin, 26, menghantar bayinya kepada pengasuh berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi hari berkenaan sebelum pergi ke tempat kerja.

“Hasil maklumat dari ibu bayi terbabit menyatakan bahawa Harith Haiqal tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan tidak pernah dirujuk ke hospital atas penyakit terbabit.

“Jenazah Harith Haiqal dituntut oleh ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tempoyang,” katanya.




0 comments:

Post a Comment