Filled Under:
,

`Lebih baik letak jawatan'

Kuala Terengganu: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menempelak keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang hanya mengenakan denda RM30,000 kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atas 'insiden terowong', 1 Februari lalu.

Beliau berkata, keputusan itu mengundang kemarahan Terengganu berikutan tiada 
sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang terbabit dalam kes berkenaan yang masih meninggalkan banyak persoalan. 
Justeru, beliau membidas Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana gagal dalam melaksanakan tugas mereka. 
"Itulah kadangkala kita buat keputusan secara terpilih. Kalau kita jadi hakim (atau) jadi (jawatankuasa) disiplin, kalau kita tidak berani buat keputusan dan berlaku adil, lebih baik letak jawatan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini hari ini. 
Ahmad berkata penangguhan kes pemain import T-Team, Evaldo Goncalves dan 
jurulatih kecergasannya, Stefano Impagliazo yang dikasari pengurusan tertinggi JDT seolah-olah terdapat satu elemen yang tidak boleh diterima banyak pihak. 

"Ini yang kadangkala pelik, atas faktor keselamatan dia jatuhkan hukuman. Siapa yang menyebabkan perkara itu tidak selamat? Mesti ada individu yang dikenal pasti," katanya. Ahmad turut membidas bagaimana kes yang sepatutnya menjadi keutamaan iaitu 
'insiden terowong' bertukar menjadi kes kedua. 

Ini berikutan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Taufek 
Abdul Razak pada mesyuarat, semalam, bahawa kes berkenaan sedang disiasat oleh dua pihak iaitu polis dan FAM. Katanya, jawatankuasa itu berpendapat adalah wajar untuk menangguhkan terlebih dahulu siasatan terhadap individu yang terbabit kerana tidak mahu ada dua keputusan berlainan. 

"Ini bukan soal hukuman, soalnya sekarang saya tak berpuas hati bagaimana cara pengendaliannya (oleh FAM). Malah, dulu cakap nak panggil semua dan saya dimaklumkan oleh pasukan T-Team (bahawa) sampai semalam pun mereka tidak dipanggil untuk beri keterangan semula," kata Ahmad. 

'Insiden terowong' berlaku pada 1 Februari lalu ketika waktu rehat perlawanan 
pusingan kedua Piala FA antara JDT dan T-Team.  Pihak pengurusan T-Team mengambil keputusan tidak meneruskan perlawanan babak kedua kerana berasa keselamatan mereka terancam selepas mendakwa Goncalves dan Impagliazzo telah dikasari oleh pemimpin tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan. Bernama




0 comments:

Post a Comment