Namun, bagaimana jika peranti anda hilang, rosak dan sebagainya? Habis segala-galanya hilang begitu saja jika tiada salinan lain atau backup. Kalau ada pun, anda bergantung sepenuhnya kepada kad memori yang turut tidak menjamin fail selamat jika sesuatu berlaku.
Oleh itu, anda memerlukan ‘rakan’ backup untuk menyimpan fail dan tidak bergantung kepada hanya satu-satunya kaedah lama dengan menggunakan khidmat setoran ‘online’ yang menyimpan fail secara maya dalam ‘cloud’.
Meskipun sudah agak lama diperkenalkan, kaedah menyimpan dalam cloud agak kurang digunakan memandangkan cara memindahkan datanya bergantung kepada kelajuan Internet yang belum benar-benar meyakinkan.
Nasib baik dalam tempoh setahun ini, capaian 3G serta pengenalan 4G sedikit membantu pemindahan fail yang lancar. Ia ditambah dengan pemampatan data lebih baik daripada syarikat yang memperkenalkan penyimpanan data online seperti Dropbox dan Google.
Sehingga kini, beberapa syarikat penyedia penyimpanan data online seperti Dropbox, OneDrive, Google Drive dan Box mula menunjukkan keupayaan masing-masing memberi perkhidmatan kepada pengguna. Sama ada percuma atau berbayar, pengguna kini mempunyai pillihan yang lebih baik dengan beberapa langkah mudah menyimpan fail.
Pengasas Dropbox, Drew Houston berkata, langkah memperkenalkan perkhidmatan menjadikan kehidupan lebih mudah dan ringkas. “Asas kekuatan Dropbox bermula apabila saya terlalu bosan untuk menyimpan dan memindahkan fail melalui ‘thumbdrive’ (pemacu USB).
“Jadi saya berfikir, apa salahnya mencipta fail yang boleh diakses di mana saja kita berada melalui mana-mana peranti dengan hanya sambungan Internet,” katanya. Katanya, penyimpanan online bukan saja bermakna pengguna menyimpan fail malah individu lain turut mampu mengakses fail yang sama jika dibenarkan.
“Secara tidak langsung, ia meningkatkan tahap produktiviti dan tidak perlu risau mengenai persoalan seperti kehilangan laptop, tablet rosak dan sebagainya,” katanya. Dropbox mula dicipta pada 2007 yang kini mempunyai 200 juta pengguna dengan satu bilion fail disimpan sehari.
Ia ditawarkan dalam 15 bahasa di 200 negara malah empat juta perniagaan dalam 500 syarikat tersenarai dalam Fortune 500 turut menggunakan khidmat sama bagi operasi mereka. Sementara itu, Pengurus Kumpulan Produk bagi Google Drive, Scott Johnston dalam blognya berkata, perkhidmatan Google terbabit dibangunkan dengan idea untuk mencipta, kolaborasi, berkongsi dan menyimpan semua fail yang dimiliki.
“Jika sebelum anda menggunakan Google Doc, kini Drive lebih baik bagi menyimpan fail untuk segala-galanya,” kata Johnston. Katanya, sejak dibangunkan, Google Drive kini mempunyai beberapa ciri baru termasuk akses mudah untuk dekstop dan aplikasi mudah alih, carian menggunakan kata kunci dan mampu bekerjasama dengan pihak pembangun aplikasi ketiga.
Manakala OneDrive yang dulunya dikenali sebagai SkyDrive dibangunkan Microsoft Corp (Microsoft) menawarkan perkhidmatan penyimpanan online secara percuma. Dalam laporan penyelidikan onlinenya, Microsoft mendapati 77 peratus pengguna gajet tidak memiliki salinan atau backup melainkan peranti mudah alih mereka yang membimbangkan.
“Manakala 69 peratus pengguna sanggup kehilangan peranti berbanding kandungan di dalamnya,” kata laporan terbabit. Naib Presiden Korporat Perkhidmatan OS Microsoft, Chris Jones, berkata apabila pengguna memegang peranti mudah alih, mereka mahukan akses segera kepada fail dalam telefon atau tablet mereka.
“Kami bangunkan OneDrive bersesuaian dengan kegunaan peranti dari Xbox, Windows Phone hingga Windows 8.1,” katanya. Menurut Jones, OneDrive menawarkan kapasiti setoran percuma sebanyak 7GB yang menyamai simpanan 7,000 foto.
Di samping kapasiti 7GB, pengguna mempunyai pilihan membeli kapasiti pada kadar 50GB, 100GB dan 200GB. Pengguna yang memperkenalkan perkhidmatan ini kepada orang lain mampu menadapatkan 5GB lagi kapasiti setoran secara percuma.
Google Drive
Untuk permulaan, ia akan menawarkan kapasiti 15GB namun anda perlu mempunyai akaun Google yang mudah dibuka terlebih dahulu. Sama ada membukanya di web atau aplikasi, ia mudah dihubungkan dengan pemindahan fail lancar dari desktop atau telefon ke Drive.
Lebih mudah kalau anda menggunakan Google Doc untuk dokumen pejabat, ia boleh disimpan secara automatik dari e-mel dan sebagainya. Bagaimanapun, anda tidak boleh pindah turun foto dalam telefon secara terus ke Google Drive.
OneDrive
Jika anda sistem operasi (OS) Windows 8 and 8.1, ia sudah ditetapkan sebaik anda membukanya namun bagi versi lain sila pindah turun melalui setor aplikasi masing-masing. Melalui aplikasi ini, anda boleh mengaksesnya dengan mudah bagi apatah lagi kebanyakan komputer peribadi (PC) lengkap dengan perisian Windows 8 yang siap terbina.
Bagi perisian Office baru pula, anda berupaya menyimpan terus melalui tetapan simpan dalam OneDrive dalam mod File. Sekiranya anda pengguna telefon Windows Phone pula, tetapan OneDrive boleh diakses terus melalui aplikasi yang kebanyakannya sudah siap dipasang.
Dropbox
Aplikasi yang popular bagi pengguna desktop atau peranti mudah alih memandangkan kebanyakan OS menyokongnya akses kepada aplikasi ini. Lebih mudah kerana konsep ‘drag & drop’ menjadikannya mesra pengguna biasa.
Aplikasi boleh dipasang terus ke desktop manakala anda boleh menetapkannya sebagai aplikasi dalam telefon atau tablet. Seterusnya, anda hanya perlu tetapkan mod buka pada Dropbox yang membolehkan kesemua dokumen termasuk foto anda terus disimpan dalam aplikasi secara automatik.
Apabila anda mula-mula mendaftar, kapasiti sebanyak 2GB akan ditawarkan secara percuma namun ia boleh ditambah melalui pelbagai cara. Lebih baik sekiranya anda membeli produk Samsung atau HTC, kedua-duanya menawarkan simpanan Dropbox yang agak tinggi.
Box
Kongsi dokumen dengan rakan sekerja lain, sunting dan simpan dengan operasi lebih selamat. Pada masa sama, anda boleh meninggalkan komen pada kertas kerja individu lain sekiranya mahu suntingan tambahan pada dokumen. Selain itu, kata laluan boleh ditetapkan pada dokumen yang hanya diakses individu tertentu saja.
SugarSync
Cara kerjanya hampir sama dengan Dropbox dengan anda akan memperoleh kapasiti simpanan sebanyak 5GB apabila mendaftar buat pertama kali. Sekiranya anda perlukan simpanan tambahan, terdapat pilihan 60GB yang berharga kira-kira RM22.50 sebulan.
Space Monkey
Ia menawarkan pilihan setoran sehingga 2TB dengan bayaran RM600 atau kira-kira RM150 bagi 500GB setahun.
0 comments:
Post a Comment