Filled Under:

Kereta kalis peluru buatan tempatan

BERAKHIRNYA Pameran dan Persidangan Perk­hidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam me­ninggalkan banyak maklumat dan tanda aras baru kepada industri pertahanan negara.

Asasnya, DSA yang ­diadakan sejak 1988 memang dinantikan keba­nyakan syarikat industri pertahanan seluruh dunia. Malah, agenda itulah yang meletakkan Malaysia sebagai pusat pemasaran kelengkapan pertahanan dan aset ketenteraan di rantau Asia Pasifik.

Tahun ini, DSA merekod­kan pencapaian memberangsangkan apabila menarik penyertaan sehingga 1,000 syarikat industri pertahanan dari lebih 50 negara.

MD Jali bersama kereta kalis peluru yang dipamerkan di DSA 2014.


Menariknya, pameran ini menjadi satu-satunya medan memperlihatkan kepelbagaian dari segi peralatan dan teknologi pertahanan dan peperangan, sistem persenjataan udara, laut dan darat serta teknologi, sistem latihan dan simulasi sistem peperangan polis dan tentera.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, penganjuran DSA kali ini menjadi platform bagi ASEAN me­nyelaras bidang pertahanan masing-masing untuk menghadapi pelbagai kemungkinan ancaman pada masa hadapan.

“Sasaran utama pameran itu adalah untuk memastikan ASEAN dilihat sebagai satu blok yang boleh bekerjasama dan dikoordinasi dari segi industri pertahanan bagi menghadapi ancaman baru.

“Justeru, solidariti kerjasama negara anggota dalam industri pertahanan dan ­keselamatan wajar diberi penekanan, apatah lagi Malaysia bakal mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN 2015,” katanya.

Jelas beliau, insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 me­nguji semangat kerjasama dua hala dan serantau.

Lebih penting katanya, kehilangan MH370 membawa peringatan berharga mengenai kemerosotan nilai kehidupan dan perlunya menghargai hubungan antara negara.

“Melalui kesedihan yang kita rasai, satu perkara yang jelas, dunia adalah satu komuniti dan kita adalah warga sejagatnya.

“Walaupun masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai pengajaran daripada episod MH370, namun realitinya kita harus sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang ancaman yang mungkin berlaku pada bila-bila masa atau bentuk atau dimensi,” katanya.


Kemeriahan DSA 2014

Tujuh dewan utama membabitkan ruang pameran seluas 41,000 meter persegi di PWTC mengalu-alukan kedatangan pemamer dari seluruh dunia termasuk peserta baru dari Azerbaijan, Hungary dan Romania.

Seperti dijangka, 158 kenamaan terdiri daripada menteri pertahanan dan pegawai atasan tentera dari 40 negara hadir sepanjang empat hari DSA 2014 berlangsung.

Ini sekali gus meletakkan DSA di tangga lima teratas pameran pertahanan dunia.

Uniknya, di sinilah tempat yang mengagumkan banyak pihak dengan lokasi perkongsian ilmu dan teknologi pertahanan terbaik.

Sepanjang empat hari pameran, lebih 27,000 pelawat perdagangan berkunjung untuk melihat pameran yang dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang.

Begitupun, pameran ini khusus untuk pelawat perdagangan, anggota tentera, pasukan keselamatan dan pemerhati pertahanan. Ia tidak dibuka kepada orang awam.

ASEAN dianggotai Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Negara lain yang turut serta adalah Australia, Austria, Azerbaijan, Brazil, Bulgaria, China, Republik Czech, Perancis, Jerman, Hungary, Indonesia, Itali, Norway, Pakistan, Poland dan Romania.

Tidak ketinggalan, Russia, Slovakia, Korea Selatan, Afrika Selatan, Sweden, Switzerland, Turki, United Kingdom, Ukraine dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, syarikat industri pertahanan antarabangsa yang mengambil bahagian antaranya ADS UK, Aimpoint, BAE Systems, Boeing, Airbus Helicopter, Eurocopter, Expal, Finmeccanica, GIDS, Glock, Kongsberg, Korea Defense Industry Association (KDIA), L-3 TRL Technology, Nammo, Nexter, ­Raytheon, Pyser-SCI, Renault, ­Rosoboronexport, Russian ­Technologies, SSM (Turkish Industry Association), Team Defence Australia, Thales.

Syarikat tempatan pula terdiri daripada Boustead Naval Shipyard, DRB-Hicom Defence Technologies (Deftech), MDSTP, Sapura, SME Ordnance, System Consultancy Services (SCS), Weststar dan Zetro Aerospace.


Rafale International bawa inovasi

Berdiri megah sebagai pengeluar pesawat pejuang paling versatil, Rafale International terus menggilap prestasi dengan memperkenalkan teknologi canggih pesawat pejuang pada pameran ini.

Mempertaruhkan model pesawat Rafale lengkap dengan peluru berpandu jarak jauh udara ke udara METEOR bersama radar Active Electronically Scanned Array (AESA), ternyata ia berjaya mencuri banyak tumpuan.

Pengarah Program Rafale Malaysia, Daniel Fremont berkata, DSA 2014 adalah platform terbaik untuk Rafale International mempamerkan keupayaan teknikal, inovasi dan pembangunan syarikat.

“Selain berkongsi pengetahuan dan teknologi, kita percaya pameran ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali Rafale dengan lebih dekat,” katanya.

Selain model pesawat, Rafale International turut mengambil kesempatan mempamerkan sistem Augmented Reality buat julung kalinya.

Sistem canggih itu berupaya menunjukkan cara integrasi teknologi tinggi untuk operasi terbaik jet buatannya.


Kereta kalis peluru berteknologi tinggi

Ketika tumpuan sarat diberikan kepada kepelbagaian peralatan, teknologi pertahanan dan peperangan serta sistem persenjataan, ramai pengunjung DSA 2014 mencuri pandang dan melihat kehadiran kereta mewah di tapak pameran.

Secara kasar, tidak ada yang aneh atau luar biasa pada model BMW itu, namun ia adalah kenderaan kalis peluru.

Diubah suai sepenuhnya oleh IMS Magna Armoring Sdn Bhd, pemilik kereta mewah kini berpeluang memiliki kenderaan yang selamat.

Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md Jali Lateh, idea membangunkan teknologi kalis peluru bagi kenderaan mewah didorong beberapa insiden pembunuhan bersenjata dalam negara sejak akhir-akhir ini.

“Susulan itu, IMS Magna Armoring mengeluarkan kereta mewah kalis peluru pertama buatan tempatan sepenuhnya.

“Sasaran pelanggan pula terdiri dalam kalangan tokoh korporat, syarikat kawalan keselamatan bagi kenderaan Cash-In Transit (CIT) serta pegawai tinggi kerajaan,” katanya.

Tambahnya, pengubahsuaian yang dilakukan tidak akan menjejaskan jaminan pengeluar kereta serta bahagian kereta yang lain.

“Bentuk luaran dan dalaman kenderaan tidak akan memperlihatkan perbezaan ketara walaupun diubah suai menjadi kenderaan kalis peluru.

“Kadar penggunaan minyak bagi kereta juga tidak meningkat drastik kerana bahan utama, kevlar adalah ringan dan mempunyai ketahanan tinggi selain memberi perlindungan optimum kepada penumpang serta pemandu,” katanya. HMetro




0 comments:

Post a Comment