Filled Under:

Reaksi Artis Berhubung Penangguhan ABPBH 2013


Baru-baru ini pihak penganjur dan ahli jawatankuasa pengelola Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) telah sebulat suara memutuskan untuk menangguhkan malam kemuncak acara berprestij tersebut bagi menghormati tragedi yang menimpa pesawat MH370.

Menurut Penaung ABPBH 2013, Encik Mahfar Ali, acara yang sepatutnya diadakan pada 6 April depan akan ditundakan ke satu tarikh baru yang akan diberitahu kelak. Walaupun pengumuman ini dibuat agak mengejut memandangkan tinggal kurang dua minggu sahaja lagi sebelum acara berlangsung, namun tindakan penganjur iaitu Berita Harian dianggap sebagai satu tindakan yang sangat tepat apatah lagi seluruh negara masih lagi berasa sedih dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu.

ARTISMELETOP sempat menemuramah beberapa selebriti yang hadir ke sidang akhbar yang berlangsung di Public Space, NSTP pada 28 Mac lalu bagi mengetahui reaksi mereka terhadap penangguhan acara tersebut.
Nomad
Ini satu perkara yang patut dilakukan memandangkan kita baru saja dilanda satu tragedi yang amat menyedihkan bukan saja buat negara kita malah juga seluruh dunia. Bagi saya, inilah masanya untuk kita menghormati keluarga penumpang dan anak kapal yang hilang. Penangguhan acara ini sangat wajar dan saya sokong dengan tindakan pihak penganjur.


Ayu Damit

Saya sangat bersetuju dengan penangguhan ABPBH 2013 sebab sebagai seorang artis, kita juga kena menghormati dengan apa yang terjadi sekarang. Saya turut bersimpati dengan keluarga mangsa malah secara peribadi saya pun menangis dengan apa yang terjadi. Bagi saya, tindakan ini sangat wajar sekali dilakukan.

Johan As’ari

Saya berpendapat bahawa penangguhan ini sangat tepat dan saya sokong 100%. Tindakan yang dibuat sangat bagus kerana dengan peristiwa negara yang besar ini, dan apabila pihak ABPBH buat keputusan ini, bagi saya secara tak langsung ia menunjukkan keprihatinan pihak penganjur sebagai rakyat Malaysia.

Sabhi Saddi

Ini satu keputusan yang amat baik dan saya sebagai anak seni menyokong 100% dengan keputusan yang diambil oleh pihak penganjur ABPBH. Penangguhan ini memang wajar dilakukan lebih-lebih lagi negara kita sekarang masih dilanda kesedihan, kehilangan dan rasa simpati terhadap MH370.

Dazrin Kamaruddin

Saya sokong keputusan yang dilakukan oleh pihak Berita Harian untuk menangguhkan ABPBH 2013 bersempena menghormati tragedi MH370. Ia merupakan satu perkara yang betul kerana walaupun kita tidak berada dalam situasi keadaan keluarga mangsa, namun sebagai insan kita juga perlu turut sama berasa simpati. Apapun, sama-samalah kita mendoakan apa yang tidak diketemukan, kita ketemukan.

Fara Fauzana

Secara jujurnya, saat saya mendapat mesej dari pihak penganjur mengenai penangguhan ini, saya rasa lega dan gembira. Namun, perasaan tersebut bukanlah sebab saya rasa beban saya untuk mengendalikan ABPBH 2013 terlerai seketika. Bagi saya, dalam keadaan sekarang ini, tidak dinafikan sukar untuk saya melakukan perkara ini. Saya harap mereka di luar sana pun faham dan boleh terima dengan berita penangguhan ini.

Indah AF 2013

Pada pendapat saya, buat masa terdekat ini memang tak patut untuk kita buat rancangan berunsurkan hiburan. Jadi bagi saya, Berita Harian memang membuat keputusan yang betul apatah lagi penangguhan ini disebabkan kita digemparkan dengan satu cerita yang amat menyedihkan buat seluruh rakyat Malaysia. Saya sendiri masih berharap penumpang dan anak kapal MH370 dapat ditemui dan saya juga ingin minta agar semua rakyat Malaysia sama-samalah terus berdoa untuk MH370.

Aaron Aziz

Saya rasa keputusan untuk tunda ABPBH 2013 ini merupakan satu keputusan yang baik dan bernas sama sekali. Ini merupakan salah satu cara industri seni kita bersimpati serta menunjukan rasa prihatin terhadap mangsa-mangsa dan juga sebagai tanda sokongan kepada ahli keluarga mereka. Saya doakan mereka agar sabar untuk meneruskan kehidupan mereka kerana yang hidup perlu meneruskan kewajipan mereka.

Yana Samsudin

Sebelum dapat tahu berita ini, saya sendiri terfikir, ABPBH 2013 tak tangguh ke? Saya sendiri mengikuti perkembangan MH370 dan saya terkesan dengan kejadian ini walaupun tak ada ahli keluarga yang terlibat. Saya jadi berbelah bagi sama ada mahu hadir atau tidak ke acara ini. Pernah terdetik, andai ABPBH dibuat juga, saya mungkin tidak akan hadir kerana saya hormat keluarga mangsa MH370. Namun, bila pengumuman penangguhan ini dibuat, saya rasa lega sikit. Saya puji tindakan penganjur kerana keputusan yang dibuat amat tepat sekali. 
artismeletop




0 comments:

Post a Comment