Filled Under:

Teka Teki Terjawab, Shafiq Yusof Pemilik Villa Nabila



Teka-teki produser mana yang terlebih dulu membuat kisah rumah berhantu, Villa Nabila akhirnya terjawab apabila pengarah muda berbakat besar, Syafiq Yusof menggalas tanggungjawab berkenaan.

Syafiq, 22, anak bongsu kepada pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam menyatakan hasrat mengarah filem berkonsep dokumentari, cereka dan seram berkenaan bermula selepas bertemu dengan dua pembikin filem indie, Daniel Martin dan Rosallin Azrin.

“Saya berjumpa Daniel yang kebetulan ketika itu merancang membuat filem dokumentari mengenai rumah tersebut selepas peristiwa kehilangan seorang remaja menjadi ‘viral’ dalam kalangan masyarakat. “Selepas itu, saya berpandangan ia boleh dijadikan filem,” katanya ketika ditemui pada sidang media dua filemnya, Villa Nabila dan Desolasi di Kuala Lumpur, semalam.

Syafiq yang membuktikan bakat mengarah menerusi filem ‘S.A.M’ (Saya Amat Mencintaimu) dan ‘Abang Long Fadil’ turut melakukan temubual dengan beberapa individu yang mendakwa pernah mengalami peristiwa misteri di rumah itu sebelum menggarap menjadi plot.

“Disebabkan ia sebuah filem kisah benar, jadi kami banyak membuat rujukan menerusi temubual beberapa individu berkenaan. “Pelbagai versi yang kami dengar tetapi paling menarik, cerita dua kontraktor iaitu Asyraf dan Amar melalui pengalaman pelik, mistik dan seram sewaktu menjalankan projek di kawasan rumah,” katanya.

Villa Nabila menyingkap kisah benar yang pernah berlaku di situ dan penggambaran di lokasi berkenaan dijalankan pada 12 Disember 2013 selama 15 hari. Bercerita lanjut cabaran sepanjang penggambaran itu, Syafiq menyatakan sepanjang di set dia tidak diganggu atau mengalami peristiwa pelik.

Sebaliknya, menerusi kehadiran seorang ustaz, penggambaran dijalankan dengan lancar. Namun beberapa kejadian mengejutkan berlaku ketika penggambaran apabila beberapa kemalangan jalan raya berlaku. “Ketika penggambaran, ramai penduduk di kawasan berhampiran datang menonton.

“Selama lapan hari berturut-turut ada saja kemalangan jalan raya berlaku yang kami dengar behampiran dengan tempat penggambaran,” katanya. Katanya, sesetengah babak yang melibatkan sensitiviti masyarakat terpaksa dikeluarkan daripada filem itu.

“Semua maklumat yang kami dapat adalah hasil daripada temubual yang dijalankan tetapi ada satu babak yang terpaksa dibuang kerana berkait dengan sensitiviti.

“Saya juga menemuramah pihak polis. Untuk mengetahui sejauh mana kebenaran misteri Villa Nabila, penonton akan tahu dan menilainya sendiri ketika menonton filem ini nanti,” katanya.

Mengenai tanda tanya siapa produser yang terlebih dulu mendapat hak menghasilkan filem ini, Syafiq menyatakan dia terlebih dahulu mendaftar dan menghantar sinopsis kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

“Karya ini menjadi satu lagi filem ekperimentasi daripada saya apabila kali ini saya menyuntik konsep indie. “Walaupun ada pihak lain yang ingin menghasilkan filem ini, tetapi filem Villa Nabila ini adalah olahan dan skrip saya,” katanya. Filem ini dijayakan pelakon utama, Pekin dan Tisya Shamsir dan dijangka tayangan pada 15 Januari 2015. suara.tv




0 comments:

Post a Comment