Filled Under:
,

Kisah OKU di Bayar RM4 Untuk 1000 Batang Pen Dengan Menyedut Dakwat Ini Amat Menyedihkan


Alhamdulillah. OKU sedut dakwat Siti Aminah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMM) .

Butterworth: “Jika ada duit lebih, kami mahu berpindah dan menyewa rumah baru yang lebih selesa dan bersih,” kata Siti Aminah Jamalludin, 24, orang kurang upaya (OKU) yang gigih mencari rezeki mengambil upah mengisi dakwat pen menggunakan mulut dan tangan kirinya dengan bayaran RM4 bagi 1,000 batang pen.

Menurutnya, kediaman yang diduduki di Bagan Dalam, di sini, sekarang amat daif kerana ia hanya sebuah bilik yang dijadikan ruang tamu serta tempat tidur mereka.

Selain itu, mereka tiga beranak hanya tidur di atas selimut dan tidak mempunyai tilam, manakala keadaan persekitaran di luar rumah turut kotor dan tidak mempunyai bilik air serta tandas sempurna.
“Kalau boleh, biarlah rumah baru nanti tidak jauh dari tempat kerja suami saya di bengkel motosikal di Kampung Perlis kerana dia suka bekerja dan cukup selesa dengan majikannya sekarang.


“Lagipun, jika rumah sewa dekat dengan tempat kerja suami, mudah untuk dia pulang sekejap untuk menjenguk dan melihat keadaan saya serta anak kami, Muhammad Nuralif Irfan, 2, memandangkan saya sukar bergerak.

“Setakat ini, suami sudah kenal pasti sebuah rumah sewa di Kampung Perlis dengan sewa bulanan RM100, tidak termasuk bil utiliti,” katanya.

Kelmarin, tiga beranak itu menerima kunjungan Pertubuhan Prihatin OKU 1Malaysia yang memberi sumbangan ‘Kasoot WheelChair’ iaitu pelapik tayar kerusi roda bagi membolehkan OKU berkerusi roda menunaikan solat di ruangan utama masjid.

Pengerusinya Noorulhuda Mohamed Asli berkata, kunjungan itu dibuat selepas membaca mengenai kisah hidup Siti Aminah bersama suami Mohamad Sofi Osman, 28, serta Muhammad Nuralif Irfan yang disiarkan Harian Metro 14 Februari lalu.

“Sumbangan ini bagi memudahkan Siti Aminah yang juga OKU berkerusi roda masuk ke masjid untuk turut sama solat berjemaah.

“Pelapik tayar kerusi roda ini memberi kesenangan kepada OKU masuk ke masjid tanpa membasuh tayar kerusi roda terlebih dulu. Ia mudah dipasang, ditanggalkan serta dibasuh, sekali gus kebersihannya terjamin,” katanya.

Selain mengambil upah mengisi dakwat ke dalam pen, Siti Aminah turut mengambil upah memasang rantai kunci dengan kadar upah RM7 untuk setiap 1,000 set dan ia lebih sukar kerana terpaksa bergantung kepada tangan kirinya bagi menyusun dan mengacip gegelang besi pada rantai kunci berkenaan.

Bagi menambah pendapatan dan tidak semata-mata bergantung kepada suami yang bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal dengan gaji RM35 sehari, dia turut memulakan langkah berniaga barang runcit secara kecil-kecilan sejak tiga minggu lalu.

Antara produk dijual wanita gigih itu adalah barang keperluan harian seperti mi segera, garam, perencah segera dan telur yang dibeli dari sebuah pusat jualan borong di Butterworth dengan modal permulaan RM150. Sumber ihsan Harian Metro




0 comments:

Post a Comment